Bismillahirrahmanirrahim

Thursday, January 29, 2009

Filipina mahu sambung rundingan

MANILA 29 Jan. - Kerajaan Filipina berharap untuk menyambung semula rundingan damai dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) pada bulan depan.

Perunding baru kerajaan, Avelino Razon hari ini berkata, beliau berasa optimis kedua-dua pihak akan kembali ke meja rundingan pada bulan depan.

"Kita akan menyambung semula rundingan dari peringkat yang terputus.

"Kita tidak boleh berputus asa dalam usaha mencari perdamaian," katanya.

Razon menegaskan bahawa sebarang rundingan perlu mematuhi Perlembagaan negara ini.

Proses damai antara kedua-dua pihak tergendala pada Ogos lalu selepas Mahkamah Agung Filipina membatalkan draf perjanjian antara kerajaan dengan MILF yang akan memberi autonomi kepada kumpulan pemisah itu ke atas tanah warisan mereka di selatan negara ini.

Dua pemimpin kanan MILF, Abdulrahman Macapaar and Ameril Umbrakato yang marah dengan keputusan mahkamah itu telah melancarkan serangan ke atas beberapa kampung dan bandar di kepulauan Mindanao menyebabkan berpuluh-puluh orang penduduk terbunuh, manakala 500,000 penduduk menjadi pelarian bagi menyelamatkan diri.

Berikutan meningkatnya serangan yang dilakukan oleh MILF, Presiden Gloria Arroyo telah membatalkan rundingan dengan MILF dan memberi amaran bahawa rundingan damai hanya akan disambung semula apabila pejuang pemisah meletakkan senjata dan memberi fokus kepada mengadakan dialog dengan pemimpin politik dan Kristian setempat.

Sementara itu, MILF menegaskan bahawa kerajaan perlu menghormati perjanjian yang dipersetujui pada tahun lepas.

Barisan pejuang Moro itu telah menandatangani perjanjian gencatan senjata dengan kerajaan pada 2003 untuk memulakan rundingan damai.

Sehingga ini, MILF belum memberi sebarang ulasan terhadap perkembangan terbaru daripada pihak kerajaan itu untuk menyambung semula rundingan damai. - AFP

0 ulasan:

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal