Bismillahirrahmanirrahim

Monday, January 26, 2009

Manila Mohon Bantuan Malaysia

MANILA 26 Jan. Kerajaan Filipina hari ini memohon bantuan daripada negara-negara luar untuk menyambung semula rundingan damai dengan kumpulan pejuang pemisah negara itu yang terputus tahun lalu.

Presiden Gloria Arroyo berkata, kerajaan mengharapkan sokongan daripada Malaysia, Brunei, Jepun dan Libya bagi memulakan semula rundingan damai dengan Pemimpin Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).

"Panel keamanan akan berhubung secara langsung dengan fasilitator kami dan pemimpin MILF untuk menetapkan tarikh rundingan.

"Untuk memastikan rundingan keamanan di Mindanao seperti sebelum ini berjalan dengan lancar, saya berharap sokongan daripada Malaysia, Brunei, Jepun dan Libya yang sebelum ini telah menghantar fasilitator mereka," katanya.

Beliau turut meminta supaya Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Eropah dan Amerika Syarikat turut membantu dalam mewujudkan semula rundingan damai berkenaan.

Malaysia merupakan penganjur rundingan damai semasa MILF dan Manila mengisytiharkan gencatan senjata pada 2003. Malaysia juga turut menghantar pasukan pemantau gencatan senjata mengawasi Mindanao, bersama dengan Brunei, Libya dan Jepun.

Bagaimanapun rundingan gencatan senjata itu tertunggak pada bulan Ogos lalu selepas Mahkamah Agung Filipina membatalkan draf perjanjian damai berkenaan dengan MILF, menyebabkan beberapa komander MILF melancarkan serangan ke atas masyarakat Kristian di Mindanao.

Aroyo turut membatalkan rundingan dengan MILF dan berkata rundingan damai seterusnya harus menekankan pelucutan senjata oleh pejuang pemisah dan dialog dengan komuniti yang terjejas.

Malaysia menarik balik pemantau keamanannya pada November selepas rundingan berkenaan tergantung.

Seramai 12,000 anggota MILF berjuang untuk menubuhkan sebuah negara Islam di selatan pulau Filipina.

Kumpulan berkenaan telah menandatangani satu gencatan senjata dengan kerajaan pada 2003 dan mengadakan rundingan damai tetapi ia telah dirosakkan dengan pertempuran yang berterusan di wilayah berkenaan. - AFP

0 ulasan:

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal