Bismillahirrahmanirrahim

Friday, January 30, 2009

Sultan Brunei sedia bantu konflik Manila

MANILA 30 Jan. - Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah bersetuju untuk meningkatkan peranan Brunei bagi membantu kerajaan Filipina mencapai perjanjian damai dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) di selatan negara ini.

Hassanal yang melakukan lawatan rasmi tiga hari ke Filipina menyatakan persetujuan tersebut semasa rundingan dengan Presiden Gloria Macapagal Arroyo di Istana Malacanang di sini hari ini.

Selepas pertemuan itu, Penolong Setiausaha Luar Filipina, Esteban Conejos berkata, Brunei bersedia untuk meningkatkan komitmen mereka kepada pasukan pengaman antarabangsa yang ditempatkan di pulau Mindanao.

Kemungkinan Brunei boleh meningkatkan bilangan anggota kontinjennya daripada 10 kepada 30 orang.

"Kami berharap mereka (Brunei) boleh menyumbang lebih daripada itu.

"Mereka boleh mengetuai delegasi antarabangsa dalam memantau proses damai," kata Setiausaha Perancangan Ekonomi, Ralph Recto selepas rundingan Hassanal dengan Arroyo.

Jiran kedua-dua negara, Malaysia menarik diri daripada peranan tersebut pada tahun lepas, atas sebab tiadanya kemajuan dalam rundingan bertahun-tahun yang dianjurkan oleh Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Dr. Rais Yatim semalam berkata, kerajaan Malaysia boleh menimbangkan semula pendiriannya itu apabila Manila telah menyelesaikan beberapa isu yang pada pandangan Kuala Lumpur menghalang pencapaian perjanjian damai.

Isu tersebut termasuk hak penduduk Islam terhadap tanah warisan mereka di selatan negara ini serta isu pemerintahan sendiri. - AFP

0 ulasan:

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal