Bismillahirrahmanirrahim

Friday, February 27, 2009

HUA HIN 27 Feb. - Malaysia memaklumkan kepada Thailand bahawa ia akan terus membantu negara jirannya mencari penyelesaian muktamad bagi menangani konflik di wilayah bergolak Selatan Thailand.

Jurucakap Menteri Luar Thailand, Tharit Jarungwat berkata Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Dr Rais Yatim telah memberitahu rakan sejawatannya Kasit Piromya bahawa lebih banyak program perlu diadakan bagi mengembangkan kerjasama kedua-dua negara.

Tharit memberitahu sidang akhbar bahawa semasa mesyuarat dua hala yang diadakan di luar acara rasmi Sidang Kemuncak Asean ke-14 di sini, Rais memaklumkan kepada Kasit mengenai lebih banyak perbincangan diadakan di antara pemimpin kedua-dua negara bagi membincangkan isu-isu persempadanan dan konflik di Selatan Thailand.

Pada Jun 2007, Thailand dan Malaysia menandatangani satu perjanjian mengenai kerjasama dalam program pendidikan, pekerjaan dan keusahawanan yang bertujuan membantu penduduk yang majoritinya beragama Islam di sempadan wilayah Selatan Thailand.

Mengikut perjanjian itu, Malaysia antara lain akan membantu melatih kira-kira 4,000 orang Islam Thailand dalam program teknikal dan menawarkan biasiswa kepada pelajar-pelajar wilayah selatan.

Lebih 3,500 orang terkorban sejak Januari 2004 apabila puak pemisah memulakan kembali kempen bersenjata bagi mendapatkan kemerdekaan bagi tiga wilayah iaitu Yala, Pattani dan Narathiwat.

Tharit berkata kedua-dua menteri turut membincangkan tentang lawatan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin ke Thailand mulai 9 hingga 12 Mac.

— BERNAMA

0 ulasan:

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal