Bismillahirrahmanirrahim

Wednesday, April 1, 2009

12 pejuang MILF dibunuh tentera Filipina

COTABATO 1 April – Seramai 12 pejuang pemisah dan seorang askar terbunuh dalam pertempuran di selatan Filipina apabila tentera kerajaan menggagalkan serangan kumpulan pejuang ke atas sebuah bandar.

Renjer Peninjau Tentera yang disokong helikopter tempur semalam, menyerbu unit Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) di pinggir bandar Alamada, kata jurucakap tentera setempat, Leftenan Kolonel Jonathan Ponce.

Jelasnya kepada pemberita, pasukan keselamatan telah menemui mayat 12 anggota MILF dan seorang askar selepas pertempuran selama dua jam. Dua lagi askar turut cedera.

MILF yang dianggotai 12,000 anggota telah berjuang selama berpuluh tahun untuk menubuhkan negara Islam di selatan Filipina di mana pendatang beragama Kristian kini melebihi jumlah penduduk asal.

Alamada yang terletak di Mindanao, kerap menyaksikan ketegangan antara penduduk Islam-Kristian berhubung tanah perladangan.

Presiden Gloria Macapagal Arroyo pada tahun lalu, menangguhkan rundingan damai selepas Mahkamah Agung menghalang draf perjanjian damai yang memberikan lebih kuasa politik dan ekonomi kepada MILF di kawasan tersebut.

Ini telah mencetuskan serangan ke atas komuniti Kristian yang menyebabkan puluhan orang maut dan 600,000 penduduk melarikan diri dari kediaman masing-masing.

“Sebenarnya kami yang menjadi sasaran serangan oleh pihak tentera, jadi anggota kami cuma melakukan serang balas,” kata jurucakap MILF, Eid Kabalu kepada pemberita berhubung insiden terbaru itu. – AFP

0 ulasan:

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal