Bismillahirrahmanirrahim

Tuesday, June 16, 2009

Abhisit perlu bangunkan selatan Thai

Oleh MUSTAFA KAMAL BASRI

KRISIS politik di selatan Thailand terus memuncak dengan kejadian keganasan terus meningkat di tiga wilayah Islam di selatan negara itu sejak kebelakangan ini.

Kejadian terbaru ialah pembunuhan kejam ke atas 11 jemaah masjid di Kampung Air Tempayan, di wilayah Narathiwat.

Sekumpulan lelaki militan bersenjatakan rifel automatik menyerang Masjid Al-Furqan ketika kira-kira 50 jemaah menunaikan solat Isyak.

Mereka melepaskan tembakan rambang di dalam masjid itu, menyebabkan 11 jemaah terkorban termasuk imam masjid berkenaan.

Insiden itu bukanlah kejadian pertama melibatkan serangan ke atas masjid di selatan Thailand. Pada 28 April 2004, kejadian yang lebih gempar berlaku di Pattani apabila 32 orang terbunuh setelah tentera Thailand menggempur Masjid Kerisik atas arahan bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra bagi menawan pejuang pemisah Islam yang didakwa bersembunyi di situ.

Tindakan keras yang digunakan oleh kerajaan Thaksin menyebabkan perasaan benci terhadap kerajaan Thai di kalangan penduduk Islam di wilayah itu semakin menebal dan perasaan dendam terus tersemat.

Kini, kerajaan baru Thailand di bawah Perdana Menteri, Abhisit Vijjajiva dilihat bersungguh-sungguh untuk memulihkan keamanan di wilayah selatan itu.

Abhisit memberi jaminan untuk membangunkan kawasan di selatan Thai bagi meningkatkan taraf hidup penduduknya.

Langkah Abhisit itu dilihat wajar pada masa ini bagi mengembalikan keyakinan penduduk Islam yang kini sangat kecewa dengan layanan buruk kerajaan.

Kerajaan selama ini didakwa mengabaikan kebajikan penduduk di selatan negara itu yang majoritinya beragama Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Parlimen Thailand untuk Keselamatan Negara, Jehrrming Tohtayong semasa melawat Masjid Al-Furqan mengakui perasaan dendam penduduk Islam terhadap kerajaan cukup tebal.

Ia memuncak daripada insiden di Masjid Kerisik dan kemudiannya tragedi di Tak Bai enam bulan kemudian yang mengorban 84 penduduk Islam. Kini ia diburukkan dengan insiden di Masjid Al-Furqan tersebut.

Sehubungan itu, kerajaan telah menubuhkan sebuah pasukan khas untuk menyiasat insiden tembakan di Masjid Al-Furqan bagi menegakkan keadilan dan memastikan dalang kejadian itu diberkas.

Langkah kerajaan Abhisit itu mungkin atas kesedaran bahawa penduduk Islam begitu marah dengan kerajaan pimpinan Thaksin.

Selain itu, dua masalah utama lain di selatan Thailand yang perlu diberi perhatian ialah ekonomi dan pendidikan.

Daripada 76 wilayah, Yala, Pattani dan Narathiwat di selatan Thai berada di tangga terbawah daripada aspek ekonomi dan pendidikan.

Abhisit perlu membangunkan ekonomi dan pendidikan di selatan supaya ketiga-tiga wilayah yang bergolak itu dapat dibangunkan dan taraf hidup penduduknya ditingkatkan bagi mengelak kejadian keganasan terus berlaku.

Hanya dengan cara itu, keamanan di wilayah itu dapat dikembalikan dan masyarakat selatan Thailand yang beragama Buddha dan masyarakat yang beragama Islam dapat hidup bersama dalam aman damai.

0 ulasan:

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal