Bismillahirrahmanirrahim

Friday, June 19, 2009

BAN TALUBOH, Thailand 18 Jun - Di sebuah perkampungan di kawasan penduduk Islam selatan Thailand, janji yang diberikan oleh Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva untuk menghulurkan bantuan pembangunan besar-besaran dalam usaha menangani pemberontakan, sudah jelak di fikiran penduduk.

"Wang tidak dapat mengubah apa yang sudah berlaku, tiada sesiapa yang mampu membayar penamat kepada masalah di sini.

"Polisi kerajaan Thailand yang perlu dipersalahkan. Mereka perlu memahami bahawa cara hidup kami adalah berlainan daripada penduduk Thai lain dan wang tidak memberi apa-apa perbezaan," kata Yousuf, merujuk kepada perjuangan pemisah yang telah meragut lebih 3,500 nyawa di Yala, Pattani dan Narathiwat.

Penduduk perkampungan lain juga mempunyai pandangan serupa mengenai rancangan Abhisit yang melibatkan perbelanjaan 54 bilion baht (RM5.58 bilion) bagi memenangi 'hati dan minda' penduduk di tiga wilayah bersempadan dengan Malaysia itu.

Majoriti penduduk adalah etnik Melayu beragama Islam yang menggunakan bahasa Thai sebagai bahasa kedua dan mereka menolak rancangan Abhisit untuk memajukan industri perikanan, penanaman getah dan kelapa sawit, menjadikannya satu lagi kegagalan Bangkok untuk memahami rakyatnya di sana.

"Pegawai yang rasuah akan menyimpan wang itu untuk diri sendiri. Ia adalah idea yang tidak berguna.

"Ia juga mungkin jatuh ke tangan kumpulan militan. Pelaburan tidak akan menghentikan keganasan," kata seorang lagi penduduk, Araware.

Seorang penduduk, Bearmah berpendapat bahawa cara terbaik adalah dengan memanggil pulang 30,000 askar yang dikerahkan di situ selain menghentikan darurat yang memberikan pasukan keselamatan kuasa penahanan.

Perjuangan pemisah sejak 1970-an dan 1980-an bangkit semula pada tahun 2004 dan cubaan kerajaan ketika itu untuk menanganinya dengan kekerasan tentera, pelaburan dan televisyen kabel percuma telah gagal.

Keganasan memuncak dua minggu lalu, dengan 31 terbunuh dan 50 cedera dalam serangan bersenjata dan bom namun tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab.

Ketegangan menambah lagi tekanan kepada kerajaan campuran Abhisit ketika beliau berusaha memulihkan ekonomi yang dilanda kemelesetan selain ketegangan politik sejak penggulingan Thaksin Shinawatra pada tahun 2006.

Terletak di kawasan hutan Pattani, Ban Taluboh adalah kubu kuat Parti Demokrat pimpinan Abhisit namun ramai penduduk masih tidak percaya kepada kemampuan kerajaan menangani keganasan. - Reuters

0 ulasan:

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal