Bismillahirrahmanirrahim

Tuesday, June 16, 2009

Dua lagi terbunuh di Selatan Thailand

Penoreh getah, penjaga sekolah mangsa terbaru

YALA: Penyerang yang dipercayai anggota kumpulan pemisah memenggal kepala seorang penoreh getah dan menembak mati seorang penjaga sekolah yang kedua-dua mereka adalah penduduk Buddha dalam kejadian terbaru pemberontakan di Selatan Thailand.

Serangan berlaku di Yala dan Pattani, dua daripada tiga wilayah penduduk Melayu Islam di mana 29 orang dibunuh dan lebih 50 lagi cedera sejak 10 hari lalu antaranya termasuk askar, guru dan sami Buddha.

Mayat mangsa dan kepala penoreh getah berkenaan ditemui di sebuah rumah berhampiran dengan sebuah ladang di daerah Than To, Yala. Ia menjadikan bilangan mereka yang mati dipenggal di wilayah itu melebihi 40 orang sejak keganasan tercetus pada 2004 lalu.

Manakala penjaga sekolah terbabit ditembak mati sekumpulan lelaki bersenjata ketika dalam perjalanan ke tempat kerja menaiki motosikal di wilayah Pattani.

Serangan terhadap penduduk Buddha semakin meningkat sejak kejadian serangan dan tembakan terhadap sebuah masjid di Narathiwat minggu lalu di mana sekumpulan lelaki bersenjata menembak mati 10 jemaah yang sedang bersolat dan mencederakan lebih 12 yang lain.

Penduduk menyalahkan pasukan keselamatan kerana serangan berdarah terbabit di mana ia dinafikan kerajaan negara itu.

Seorang buruh dari timur laut Thailand ditembak mati dua hari selepas itu dengan sepucuk nota ditinggalkan di tempat kejadian menyebut: "Anda membunuh penduduk kami yang tidak bersalah jadi kami membunuh orang anda."

Seorang sami Buddha ditembak mati manakala seorang lagi cedera parah Jumaat lalu apabila mereka diserang ketika sedang memungut derma daripada penduduk di Yala.

Satu laporan Nonviolence International yang dikeluarkan semalam berkata bahawa keputusan kerajaan melengkapi senjata kepada penduduk awam Buddha dan tiada peraturan jualan senjata menyebabkan ketegangan berterusan di kalangan penduduk Islam dan Buddha di wilayah terbabit.

Kajian terhadap dasar berkenaan menunjukkan bahawa penduduk Melayu Islam di negara itu merasakan mereka tidak mendapat keadilan dan menjadi mangsa diskriminasi.

Misteri terus berterusan membabitkan mereka bertanggungjawab dalam kejadian keganasan di wilayah selatan itu yang sebelum ini diperintah secara bebas oleh kesultanan Melayu Islam sehingga ditawan oleh Buddha Thailand sedekad lalu. � Reuters

0 ulasan:

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal