Bismillahirrahmanirrahim

Saturday, June 13, 2009

KORONADAL, Filipina 12 Jun - Presiden Filipina, Gloria Macapagal Arroyo hari ini menyuarakan kesediaan kerajaan beliau untuk menyambung semula rundingan damai dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), sekalipun pertempuran meletus semula di selatan Filipina baru-baru ini.

Ketika berucap pada satu majlis sempena hari ulang tahun ke-111 perisytiharan kemerdekaan Filipina daripada penjajahan Sepanyol, Arroyo berkata, kerajaan Malaysia sedang berusaha untuk menyambung semula rundingan yang tergendala pada Ogos lalu selepas beberapa komander MILF menyerang penduduk Kristian.

"Kita menantikan nasihat daripada fasilitator pihak ketiga kita, iaitu kerajaan Malaysia, mengenai tarikh untuk menyambung semula rundingan damai," kata Arroyo.

Beliau berkata, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak telah memberi 'jaminan mengenai sokongan negara beliau terhadap proses damai' dengan MILF.

Menurut Arroyo, seorang perunding kerajaan kini melakukan perbincangan di sebalik tabir dengan puak pemisah itu berhubung agenda rundingan damai.

Bagaimanapun, ketua perunding MILF, Mohagher Iqbal menafikan adanya hubungan langsung antara kedua-dua pihak.

"Tidak ada rundingan langsung di sebalik tabir. Tidak ada juga maklum balas daripada Malaysia berhubung rundingan.

"Saya tidak pasti sama ada rundingan akan disambung semula di bawah pentadbiran Arroyo kerana situasi di selatan Filipina kini bergolak. Apa sahaja boleh berlaku," kata Mohagher.

Rundingan antara kedua-dua pihak bermula ekoran gencatan senjata pada 2003, tetapi digantung pada Ogos lalu selepas Mahkamah Agung menyekat perjanjian yang akan membolehkan MILF menguasai satu kawasan yang luas di selatan negara ini.

Sejak beberapa minggu lalu, pertempuran meletus semula di Pulau Mindanao, dengan tiga kem MILF ditawan oleh tentera kerajaan dan sekurang-kurangnya 30 anggota pemisah itu terbunuh. - AFP

0 ulasan:

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal