Bismillahirrahmanirrahim

Tuesday, June 9, 2009

Filipina tawan 2 kem pejuang MILF

COTABATO, Filipina 8 Jun - Dua buah kem pejuang Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) di selatan Filipina berjaya ditawan tentera kerajaan, semalam.

Menurut tentera hari ini, angka pejuang MILF yang terkorban juga meningkat kepada 35 orang.

Jurucakap tentera darat wilayah, Leftenan Kolonel Jonathan Ponce berkata, serangan bertubi-tubi dari udara serta tembakan meriam ke atas lokasi pejuang itu membuahkan hasil apabila kem-kem berhampiran bandar Guindulungan itu berjaya ditawan semalam.

''Jumlah kematian di kalangan anggota MILF juga meningkat kepada 35, selain 28 orang yang lain dilaporkan cedera.

''Hanya lima anggota tentera kerajaan cedera semasa serangan itu,'' katanya.

Ponce berkata, maklumat lain mengenai kem yang ditawan itu tidak boleh didedahkan.

Kelmarin, sebuah kem latihan MILF juga berhampiran Guindulungan, berjaya ditakluk tentera kerajaan selepas beberapa hari berlaku pertempuran.

Tentera melaporkan mayat-mayat pejuang turut dikeluarkan dari sebuah lubang dalam yang digali MILF.

Turut ditemui semasa serbuan ke atas kem pertama itu adalah kubu bawah tanah, tempat menyimpan senjata dan sebuah pejabat pentadbiran.

Pangkalan-pangkalan di Guindulungan dipercayai menjadi kubu kuat komander MILF, Ameril Umbrakato, salah seorang daripada dua komander kanan pejuang yang membatalkan gencatan senjata pada Ogos lalu dan menawan beberapa bandar Kristian.

Sejak itu, lebih 3,000 pejuang dan orang awam terbunuh dalam pertempuran tersebut, sementara beratus-ratus yang lain dipindahkan.

Serangan tersebut berlaku selepas mahkamah menolak draf perjanjian damai antara MILF dengan kerajaan Presiden Gloria Arroyo, yang menawarkan pemerintahan autonomi kepada pejuang di sebuah kawasan yang luas di selatan negara ini.

MILF yang dianggotai 12,000 pejuang mula melancarkan pemberontakan sejak 1978 bagi membentuk sebuah negara Islam di bahagian selatan Filipina. - AFP

0 ulasan:

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal