Bismillahirrahmanirrahim

Monday, June 1, 2009

MILF bantu bebaskan tawanan

MANILA 31 Mei - Tentera Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), hari ini menjalinkan kerjasama yang jarang sekali berlaku, bagi memaksa kumpulan penculik membebaskan seorang pelancong Cina yang dilarikan ke selatan negara yang bergolak itu.

Pihak berkuasa kerajaan dan 11,000 anggota MILF telah terbabit dalam pertempuran berkala sejak Ogos lalu, apabila rundingan Malaysia antara kumpulan itu gagal mencapai keputusan.

Gabenor Utara Cotabato, Jesus Sacdalan berkata, pegawai kerajaan dan pejuang Islam itu berjanji untuk bekerjasama bagi membebaskan Afen Ma Wu.

Dua pihak itu sebelum ini, pernah bersetuju untuk bekerjasama bagi memerangi penjenayah dan pengganas. Mereka membentuk satu jawatan kuasa bersama bagi memantau kerjasama itu yang masih wujud walaupun berlaku pertempuran baru.

Kata Sacdalan, seramai 10 orang penculik telah menyerahkan Wu dan penculik itu melarikan diri selepas tentera dan pejuang MILF menghalang laluan mereka di sebuah kubu MILF.

Penculik-penculik yang melarikan diri dan sedang diburu oleh tentera, adalah dari kumpulan dinamakan Pentagon, yang terdiri daripada bekas anggota pejuang dan gengster tempatan, kata Sacdalan.

Wu yang hanya mengalami kesan lebam-lebam dan gigitan nyamuk pada anggota badannya, telah dikembalikan kepada ahli keluarganya selepas menjalani pemeriksaan perubatan. Tiada wang tebusan dibayar kepada kumpulan itu.

Jurucakap kumpulan pejuang MILF, Eid Kibalu berkata, kerjasama itu menunjukkan bahawa MILF dan tentera kerajaan boleh bekerjasama dalam mencapai proses damai.

"Jika objektif itu untuk memerangi penjenayah, kita boleh berganding tangan," katanya.

Wu, 24, dari wilayah Fujian, China melawat ahli saudaranya di Utara Cotabato, Filipina apabila dua lelaki berpistol mengheret dia ke dalam sebuah kereta. - AP

0 ulasan:

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal