Bismillahirrahmanirrahim

Monday, June 22, 2009

Militan rekrut pelajar agama


GAMBAR 2004 menunjukkan pelajar di sebuah sekolah agama di Pattani.

Keganasan berpunca rebutan kuasa pemisah tempatan selatan Thailand

BANGKOK: Militan di selatan Thailand menggunakan sekolah agama untuk merekrut pejuang bagi pergelutan bersenjata etnik-nasionalis menentang kerajaan, menurut laporan dikeluarkan semalam.

Dalam kajian 20 muka, Kumpulan Krisis Antarabangsa (ICG) berkata serangan hampir setiap hari di wilayah Narathiwat, Yala dan Pattani adalah sebahagian usaha merebut kuasa oleh pemisah yang tidak mempunyai kaitan dengan kumpulan pelampau atau pergerakan jihad global.

Hampir 3,500 terbunuh sejak 2004 di wilayah bersempadan Malaysia yang menjadi empayar kesultanan Melayu Islam bebas sehingga dijadikan sebahagian Thailand beragama Buddha sekurun lalu.

"Bilik kelas adalah sasaran hubungan pertama," kata laporan.

"Pengambil rekrut menjemput mereka yang dilihat menepati ciri penganut Islam yang taat yang bersimpati dengan sejarah penindasan, layanan buruk dan idea jihad bersenjata untuk menyertai program penanaman fahaman di masjid atau pada latihan bola sepak yang disalah gunakan."

Kajian ICG dikumpul selama lebih 16 bulan dan pendedahannya dibuat selepas peningkatan keganasan yang menyaksikan 38 orang terbunuh dan lebih 60 cedera sejak dua minggu lalu antaranya tentera, polis, sami Buddha dan jemaah masjid.

Laporan berkata pergerakan penentang adalah perjuangan untuk melindungi identiti etnik rantau berbangsa Melayu dan pencabulan hak asasi manusia oleh pasukan keselamatan menambah sokongan kepada pergerakan pemisah."

"Sekolah agama penting dalam usaha meneruskan identiti Melayu Islam dan ramai pelajar mudah menerima pujukan untuk mengangkat senjata menentang kerajaan," kata ICG.

"Ini bukanlah pergelutan perpaduan dengan jihad global, ia berbentuk pemberontakan etnik-nasionalis mensasarkan merebut kembali apa yang dikatakan kesultanan bebas Pattani."

Laporan mendakwa pergerakan pemisah bergantung sepenuhnya kepada guru untuk merekrut pejuang muda, yang akan mengangkat sumpah komitmen dan kerahsiaan sebelum menyertai rangkaian sulit, pelbagai sel yang mana kepemimpinannya tidak pernah didedahkan namanya. - Reuters

0 ulasan:

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal