Bismillahirrahmanirrahim

Wednesday, June 24, 2009

BANGKOK 24 Jun – Satu kumpulan pemisah, yang berjuang bagi kemerdekaan tiga wilayah yang majoriti penduduknya beragama Islam di Selatan Thai, menafikan laporan Kumpulan Krisis Antarabangsa (ICG) bahawa sistem sekolah pondok Islam digunakan untuk menyebarkan keganasan.

Ketua Hal Ehwal Antarabangsa bagi Pertubuhan Pembebasan Bersatu Pattani (PULO), Kasturi Mahkota berkata, pihaknya percaya laporan seumpama itu bertujuan untuk memburuk-burukkan sistem sekolah agama di wilayah selatan.

Tambahan pula katanya, kehidupan yang aman di pondok yang menjadi pusat pendidikan dan institusi yang dihormati masyarakat kini banyak diganggu dengan elemen campur tangan Thai.

“Daripada campur tangan dengan institusi agama di Pattani yang menekankan pengajaran dan nilai moral, kenapa tidak kerajaan Thai melihat sendiri keadaan sistem pendidikannya,” soal Kasturi dalam kenyataannya yang dimuatkan ke dalam laman web PULO.

Katanya, laporan “merekrut militan di selatan Thai” yang dikeluarkan pada Isnin lalu, nampak seolah-olah dibuat untuk kepentingan dan bagi pihak pergerakan ultra-nasionalis Thai yang jelas menunjukkan mengenai tipisnya etika kewartawanan yang neutral dalam membuat liputan mengenai konflik di Pattani.

Dalam laporan itu, ICG berkata, sekolah swasta Islam atau pondok telah menjadi pusat pembiakan bagi pemberontak memandangkan kumpulan pemisah menggunakannya sebagai tempat untuk merekrut dan melatih remaja Islam.

Lebih 3,500 orang terbunuh dalam siri keganasan sejak kumpulan pemisah menyambung semula kempen bersenjata pada Januari 2004 bagi mendapatkan kemerdekaan bagi tiga wilayah iaitu Yala, Pattani dan Narathiwat yang mempunyai penduduk majoriti Islam. – BERNAMA

0 ulasan:

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal