Bismillahirrahmanirrahim

Saturday, August 29, 2009

Komplot mahu lancar keganasan besar-besaran di bandar

BANGKOK: Pemberontak dari Pertubuhan Pembebasan Pattani Bersatu (Pulo) dan Kerjasama Barisan Revolusi Nasional yang terlatih dalam pembuatan bom di luar negara sudah menyusup masuk ke selatan negara ini dalam persediaan untuk serangan besar-besaran, kata satu sumber perisikan.

Militan muda itu didakwa menyeberangi sempadan di antara Narathiwat dan Kelantan, akhbar Bangkok Post memetik seorang sumber yang tidak dinamakannya.

Mereka kini berada di dalam dan sekitar Yala, Pattani, Narathiwat dan sebahagian Songkhla dan sedang berkomplot melakukan kempen keganasan besar-besaran di kawasan bandar pada masa akan datang, kata sumber.

Awae Kaelae, seorang suspek pemimpin Pulo, menyelinap masuk ke rantau ini daripada persembunyiannya di luar negara untuk memimpin sepenuhnya pemberontakan, kata sumber.

Serangan mungkin disasarkan ke atas perkampungan terpencil dan kawasan pergunungan berbanding kawasan pinggir bandar, kata sumber lagi.

Pemberontak cuba untuk menakut-nakutkan penduduk tempatan yang mana pengeboman kereta Selasa lalu yang mencederakan 42 orang di Narathiwat adalah contohnya, katanya.

Pegawai polis dan Porntip Rojanasunan, Pengarah Institut Sains Forensik Pusat kelmarin terus mencari bengkel kenderaan yang digunakan penyerang dalam usaha mereka untuk mendapat petunjuk terhadap pengeboman terbabit.

Sebuah trak pikap digunakan dalam serangan bom itu dipercayai dicat di bengkel itu di daerah Muang selepas pemimpin pemberontak disyaki, Amran Ming, 28, dan anggotanya didakwa mencurinya dari daerah Bacho.

Pegawai polis di 13 daerah Narathiwat semalam dilatih mengendalikan tiga pengesan bom GT 200 yang dibekalkan tentera bagi menambah keupayaan menghalang pengeboman.

Di Yala, seorang warga emas terbunuh dan 17 orang cedera apabila sebutir bom dibaling ke atas sekumpulan penduduk Islam sedang bermain 'boules' di selatan Thailand, kata polis semalam.

Seorang penyerang menaiki motosikal melontar bom tangan ke arah kumpulan itu pada tengah malam di Pattani.

Serangan itu menyebabkan tambahan angka kematian di rantau kaya tanaman getah kepada 17 orang sejak 10 hari lalu dengan lebih 60 orang cedera. - Agensi/Reuters

0 ulasan:

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal