Bismillahirrahmanirrahim

Wednesday, September 16, 2009

Filipina terima perantara antarabangsa

MANILA 16 Sept. - Kerajaan Filipina hari ini mengumumkan pihaknya telah bersetuju untuk membenarkan perantara damai antarabangsa terlibat dalam rundingan dengan pejuang pemisah Islam yang memperjuangkan kemerdekaan di selatan negara ini sejak berdekad-dekad lalu.

Persetujuan untuk melibatkan perantara terdiri daripada wakil Persidangan Pertubuhan Islam (OIC), Kesatuan Eropah (EU) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu menandakan satu 'kemajuan besar' dalam usaha mencari perdamaian, menurut satu kenyataan kerajaan.

Kerajaan dan kumpulan pejuang pemisah terbesar di negara ini, Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) menandatangani perjanjian bagi membentuk rangka kerja pembentukan 'Kumpulan Hubungan Antarabangsa' (ICG) semasa rundingan tertutup di Malaysia malam tadi.

Manila awal semalam mengumumkan bahawa ia menjangka rundingan damai rasmi dengan MILF disambung semula selepas berakhirnya bulan Ramadan pada minggu depan.

"Pembabitan ICG adalah kemajuan besar dalam usaha untuk mencapai perdamaian berkekalan di Mindanao," kata ketua perunding kerajaan, Rafael Seguis dalam satu kenyataan.

Pusingan rundingan sebelum ini dihentikan pada tahun lalu selepas dua komander kanan MILF melancarkan serangan bersepadu di beberapa pekan dan wilayah majoriti penduduk Kristian di pulau Mindanao.

Mereka bertindak demikian selepas Mahkamah Agung Filipina menolak draf perjanjian yang memberi kuasa autonomi kepada MILF ke atas 'tanah warisan' mereka yang meliputi lebih 700 pekan dan kampung di selatan negara ini.

Dalam pertempuran yang meletus kemudian antara kedua-dua pihak di Mindanao, lebih 300 penduduk awam, askar kerajaan dan pejuang MILF terbunuh, manakala 750,000 lagi penduduk terpaksa melarikan diri.

Gencatan senjata diadakan pada Julai lalu ketika kedua-dua pihak berusaha untuk menyambung semula rundingan.

MILF sudah lama mengambil pendirian, syarat untuk mereka kembali ke meja rundingan ialah penubuhan sebuah panel perantara damai bagi memantau dan menyelia rundingan.

"ICG akan menjadi pihak ketiga yang duduk di meja rundingan apabila kami menyambung semula rundingan.

"Mereka akan membantu panel-panel perunding MILF dan kerajaan dalam usaha untuk mencapai perjanjian damai akhir. Mereka akan duduk semeja dengan kami untuk bertindak sebagai fasilitator," kata perunding kanan Manila, Avelino Razon. - AFP

0 ulasan:

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal