Bismillahirrahmanirrahim

Tuesday, September 22, 2009

MILF berhati-hati

SEKUMPULAN mujahidin yang bersenjata berat mengawal ketat kawasan sekitar sebuah pejabat dua tingkat ketika pemimpin mereka berjalan perlahan-lahan memasukinya.

Pada usia 61 dan bercermin mata, Murad Ebhraim kelihatan lebih kepada seorang datuk berbanding pemimpin Barisan Pembebasan Islam Filipina (MILF) yang sudah sekian lama memperjuangkan sebuah negara Islam yang merdeka di Mindanao daripada Filipina yang majoriti penduduknya penganut Katolik.

Bagaimanapun, kecacatan pada jarinya menjadi bukti kepada pembabitannya selama beberapa tahun sebagaii ketua Angkatan Tentera Islam Bangsamoro sebelum memegang jawatan pengerusi pertubuhan itu pada 2003.

Kini, dengan usia yang semakin meningkat bekas pelajar kolej kejuruteraan awam itu berkata, dia mahu melihat keamanan dan menyelamatkan generasi muda Islam Moro daripada terus hidup sengsara.

“Pucuk kepimpinan MILF sungguh ikhlas dan bersungguh-sungguh untuk berdepan dengan proses keamanan,” kata Murad kepada sekumpulan wartawan yang mengunjunginya di Kem Dapanan, sebuah wilayah besar yang bersempadan dengan beberapa bandar Mindanao yang dianggap kerajaan sebagai pusat politik kumpulan itu.

Menurutnya, perjuangan mendapatkan sebuah negara merdeka di selatan telah mengorbankan begitu banyak nyawa.

Beliau mahu menyekatnya sebelum ia MILF dikuasai pejuang muda yang semakin radikal.

“Sudah 40 tahun sengketa berdarah ini berlaku dan ia boleh berlarutan ke generasi akan datang dan seterusnya generasi berikutnya,” katanya.

Lebih 150,000 orang terbunuh sepanjang tempoh itu.

Ia satu perjalanan yang jauh bagi Murad yang dilahirkan pada 1948 di bandar Sultan Kudarat yang serba daif yang juga menjadi kubu kuat MILF.

Beliau mula terbabit dalam perjuangan itu pada 1960-an ketika menuntut di Universiti Notre Dame yang dikendalikan oleh kumpulan Katolik di Mindanao ,

Walaupun tidak mengesahkannya, sumber kerajaan Filipina percaya beliau menyertai mujahidin anti-Soviet yang berjuang di samping pemimpin al-Qaeda ketika ini, Osama bin Laden, di Afghanistan pada 1980-an.

Murad mula menjadi pejuang pada usia 22 selepas bertemu dengan Nur Misuari dan ulama yang mendapat pendidikan Mesir, Salamat Hashim, pemimpin gerakan kemerdekaan Islam yang dikenali sebagai barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF).

Perbezaan pendapat antara mereka memaksa Murad dan Salamat keluar dari MNLF dan menubuhkan MILF.

MNLF kemudian menandatangani perjanjian damai dengan kerajaan pada 1996 sementara MILF meneruskan perjuangan mereka.

Tetapi kini Murad bercakap mengenai kesan kebimbangannya terhadap sengketa yang berlaku, lebih-lebih lagi sepanjang 12 bulan lalu.

Sengketa terbatu itu bermula dengan keputusan kerajaan Filipina yang membatalkan persetujuan yang akan membolehkan MILF menguasai politik dan ekonomi di 700 wilayah di Mindanao yang didakwanya sebagai tanah pusaka bangsa Moro.

Sebagai tindak balas, dua panglima MILF bertindak melancarkan serangan terhadap tentera Filipina menyebabkan pertempuran meletus, meragut lebih 300 nyawa dan lebih 750,000 penduduk menjadi pelarian.

“Kita menyaksikan penderitaan orang awam sepanjang 12 bulan lalu. Kehidupan mereka begitu sengsara,” katanya.

Kedua-dua pihak akhirnya mengisytiharkan gencatan senjata baru Julai lalu dan baru-baru ini menunjukkan hasrat untuk meneruskan rundingan damai.

Rundingan itu mungkin peluang terakhir untuk mencapai keamanan kerana barisan berikut yang bakal mengetuai MILF adalah pejuang berusia antara 30-an dan 40-an tahun yang tidak tahu apa-apa kecuali berperang.

Bagaimanapun, berdasarkan pengalamannya, Murad memberi amaran, di samping memburu keamanan, MILF juga meningkatkan kekuatannya sebagai persediaan jika kerajaan Filipina sekali lagi menipu dan membatalkan perjanjian yang sudah dipersetujui.

“Latihan untuk pemimpin muda kini tertumpu kepada pembinaan negara dan ke arah keamanan.

“Tetapi pada masa sama, ia juga ditumpukan ke arah keadaan yang akan memaksa kami mempertahankan diri,” katanya. - AFP

0 ulasan:

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal