Bismillahirrahmanirrahim

Sunday, September 20, 2009

MILF beri amaran terakhir

SULTAN KUDARAT, Filipina 19 Sept. - Pengerusi Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), Murad Ibrahim hari ini memberi amaran, rundingan damai akan datang mungkin menjadi peluang terakhir untuk menyelesaikan konflik dengan kerajaan Filipina secara aman.

Murad juga memberi amaran 'huru-hara' akan meletus jika kerajaan gagal memeteraikan perjanjian damai dengan pertubuhannya.

"Jika siri rundingan kali ini tidak berjaya, saya tidak nampak kemungkinan satu siri lagi akan diadakan. Kami merasakan huru-hara boleh meletus jika rundingan kali ini tidak mencapai kemajuan," katanya kepada AFP.

Kegagalan itu boleh membawa kepada situasi di mana gerila MILF tidak lagi dapat dikawal, tegas beliau.

"Keadaan sedemikian akan berlarutan daripada generasi ke generasi," katanya, sambil menambah kata, kebanyakan pejuang MILF, kini berusia antara 30-an hingga 40-an, membesar semasa kemuncak pertempuran dan mereka kini 'lebih berani dan lebih radikal'.

Beliau menuduh kerajaan hanya berpura-pura menyokong proses damai dan menggunakan proses itu sebagai sebahagian pelan antipemberontakan, bukan sebagai cara untuk mencapai perdamaian.

Menurut Murad, MILF akan menerima apa sahaja yang dapat mereka tuntut dalam rundingan di bawah kerajaan Presiden Gloria Macapagal Arroyo tetapi 'yang penting ialah kami memperlihatkan kejujuran kami'.

Pengerusi itu turut menegaskan bahawa MILF tidak akan menyerahkan dua komandernya kepada kerajaan, sekalipun mereka melancarkan serangan berdarah pada tahun lepas.

Beliau yang bercakap di sebuah kem MILF di pinggir bandar Cotabato, selatan Filipina hari ini berkata, MILF tidak akan tunduk kepada tuntutan supaya mereka menyerahkan Ameril Umbrakato dan Abdulrahman Macapaar yang didakwa melancarkan serangan ke atas perkampungan majoriti penduduk Kristian di pulau Mindanao pada Ogos 2008.

"Tidak mungkin kami menyerahkan mereka. Kerajaan telah memfailkan kes terhadap mereka tetapi kami tidak mengiktiraf kes itu," katanya kepada AFP.

Menurut Murad, siasatan mengenai insiden tersebut perlu dijalankan oleh pihak ketiga dan jika kedua-dua mereka didapati melanggar undang-undang tertentu, 'maka kami perlu menghukum mereka berdasarkan undang-undang kami'.

Beliau memberi amaran, 'keyakinan dan kepercayaan hancur sama sekali' selepas Mahkamah Agung Filipina pada tahun lepas membatalkan draf perjanjian damai dengan MILF ekoran bantahan meluas daripada masyarakat Kristian.

Tindakan mahkamah itu mendorong Ameril dan Abdulrahman melancarkan serangan yang menyebabkan berpuluh-puluh orang maut dan lebih setengah juta penduduk terpaksa melarikan diri.

MILF menandatangani perjanjian dengan kerajaan Filipina di Malaysia pada Rabu lalu bagi membenarkan perantara damai antarabangsa menyertai rundingan untuk menamatkan pemberontakan di selatan negara ini sejak puluhan tahun lalu. - AFP

0 ulasan:

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal