Bismillahirrahmanirrahim

Monday, October 19, 2009

Polis jumpa motosikal gagal kesan bahan letupan

BANGKOK: Sekurang-kurangnya 24 orang cedera selepas sebutir bom diletupkan di sebuah pasar di wilayah selatan Thailand dipercayai oleh kumpulan pemisah, semalam.

Bahan letupan buatan sendiri itu disembunyikan pada sebuah motosikal yang diletakkan di hadapan pasar makanan segar di bandar Yala, kata jurucakap tentera, Kolonel Parinya Chaidilok.

"Tiga anggota tentera yang melakukan rondaan di kawasan terbabit juga cedera dalam kejadian letupan awal pagi.

"Polis percaya, bahan letupan itu seberat tujuh hingga 10 kilogram dan sedang menyiasat sama ada telefon bimbit digunakan untuk menghantar isyarat supaya meletup," katanya.

Saksi berkata, dua lelaki berusia 30 dan 35 tahun memakai kemeja-T dan topi hitam, meletakkan motosikal itu dekat tempat kejadian. Pemerintah tertinggi polis serantau, Leftenan Jeneral Pichit Wisaijorn menyalahkan pemisah atas keganasan terbaru itu.

"Kami terima maklumat supaya bersedia menghadapi letupan bom kereta, tetapi mereka gunakan motosikal," katanya.

Polis dilaporkan memeriksa motosikal berkenaan beberapa minit sebelum letupan berlaku, tetapi gagal mengesan bom itu.

Katanya, itu adalah kali keempat kawasan terbabit diserang.

Lebih 3,700 penduduk beragama Islam dan Buddha terbunuh sejak pemberontakan tercetus di tiga wilayah paling selatan Thailand mulai Januari 2004.

Wilayah terbabit, Narathiwat, Pattani dan Yala adalah kawasan majoriti penduduk Islam di negara yang dikuasai penganut Buddha.

Penduduk Islam di tiga wilayah itu sejak sekian lama mendakwa mereka dianiaya oleh kerajaan pusat. Kehadiran pengawal keselamatan secara besar-besaran di wilayah itu juga gagal menghentikan keganasan.

Malah, militan turut mensasarkan penduduk Buddha dan Islam yang didapati bekerja dengan kerajaan termasuk askar, polis dan penyampai maklumat. � AP

0 ulasan:

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal