Bismillahirrahmanirrahim

Monday, October 19, 2009

AS digesa bantu damai MILF-Manila



ZAMBOANGA - Pengerusi Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), Murad Ebrahim kelmarin menggesa Amerika Syarikat (AS) membantu kumpulan itu mencapai perjanjian damai dengan kerajaan Filipina di Mindanao.

Beliau membuat gesaan itu selepas mengadakan pertemuan dengan Kuasa Usaha AS, Leslie Bassett pada Jumaat lalu di Kem Darapanan, Maguindanao.

Murad juga memberi penghargaan kepada AS dan Presiden Barack Obama atas komitmen tinggi ditunjukkan dalam menyokong proses damai dan penyelesaian konflik secara aman antara Manila dan MILF.

Naib Pengerusi MILF, Ghazali Jaafar berkata, Washington perlu memberi tumpuan kepada usaha menyelesaikan masalah akar umbi yang menyebabkan konflik sejak berpuluh-puluh tahun lalu di Mindanao.

"Kerajaan AS tahu mengenai latar belakang konflik ini di sudut sejarah dan undang-undang. Kami percaya Washington dapat membantu menghasilkan penyelesaian secara aman," katanya.

AS adalah negara penderma utama kepada kawasan-kawasan mundur di Mindanao.

Basset menerusi mesej disiarkan laman web MILF berkata, AS komited dalam menyokong proses damai di selatan Filipina dengan menyediakan lebih bantuan dan memainkan peranan utama yang lebih spesifik.

Pada tahun lalu, Duta AS, Kristie Kenney menemui Murad secara rahsia di Darapanan untuk menyatakan sokongan penuh AS ke atas MILF berhubung rundingan damai dengan Manila.

Murad menegaskan komitmen kumpulan itu untuk mencapai perjanjian damai dengan kerajaan pimpinan Presiden Gloria Macapagal Arroyo.

Namun, Manila menghentikan rundingan damai dengan MILF berikutan serangan kumpulan tersebut ke atas penduduk Kristian di Mindanao.

0 ulasan:

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal