Bismillahirrahmanirrahim

Wednesday, October 28, 2009

Manila, MILF meterai perjanjian

MANILA: Kerajaan Filipina dan sebahagian besar kumpulan pemisah Muslim menandatangani perjanjian memberi jaminan supaya tidak mensasarkan orang awam dan melindungi sekolah serta hospital, satu petunjuk hubungan pulih selepas bertahun terbabit dalam konflik.

Perjanjian yang ditandatangani di Kuala Lumpur itu mensasarkan untuk mengelak penderitaan besar-besaran orang awam di selatan Filipina, di mana beratus terbunuh dan lebih setengah juta orang kehilangan tempat tinggal ketika rundingan damai gagal tahun lalu.

“Tindakan selanjutnya yang lebih logik ialah meneruskan rundingan damai,” kata Eid Kabalu, jurucakap Barisan Pembebasan Hadapan Islam Moro (MILF), yang berjuang untuk pemerintahan autonomi di selatan negara itu yang dikuasai penduduk beragama Kristian.

Kedua-dua pihak akan membincangkan langkah menguatkuasakan perjanjian sebaik saja rundingan rasmi diteruskan hujung tahun ini, termasuk pemantauan antarabangsa, kata perunding kerajaan Rafael Seguis.


“Ia mensasarkan menghalang jumlah kehilangan tempat tinggal penduduk secara besar-besaran,” katanya.

Ramai penduduk awam kehilangan tempat tinggal akibat konflik yang meragut sekurang-kurangnya 120,000 nyawa sejak 1970-an.

Dalam perjanjian yang ditandatangani kelmarin, kedua-dua pihak komited untuk tidak mensasarkan orang awam, selain “sekolah, hospital, premis agama, pusat kesihatan dan pengagihan makanan atau operasi bantuan.” Mereka juga bersetuju untuk tidak menghalang kemasukan bantuan makanan dan barangan bantuan lain.

Rundingan damai gagal Ogos tahun lalu apabila Mahkamah Tinggi mengisytiharkan satu perjanjian awal tidak mengikut perlembagaan berhubung satu rantau autonomi Islam.

Satu serbuan maut oleh tiga komander pemisah yang kecewa dengan perjanjian gagal itu mencetuskan berbulan pertempuran yang mengorbankan beratus orang awam serta memaksa lebih setengah juta penduduk melarikan diri dari tempat kediaman. Kebanyakannya sudah kembali ke rumah asal. - AP

0 ulasan:

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal