Bismillahirrahmanirrahim

Monday, October 19, 2009

MILF komited berdamai

ZAMBOANGA 18 Okt. - Para pemimpin Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) menemui diplomat Amerika Syarikat (AS) untuk memberi jaminan mengenai komitmen kumpulan pemisah itu terhadap rundingan damai dengan kerajaan Presiden Filipina, Gloria Macapagal Arroyo.

Pertemuan antara Pengerusi MILF, Murad Ebrahim dengan kuasa usaha AS, Leslie Bassett berlangsung kelmarin di Darapanan, kem latihan utama MILF di wilayah Cotabato, Pulau Mindanao, menurut kenyataan MILF hari ini.

Jurucakap kedutaan AS, Rebecca Thompson mengesahkan pertemuan itu dengan berkata: "Puan Bassett menemui beberapa pemimpin dan pegawai di Cotabato dalam rangka lawatan rutin untuk mengetahui situasi di sana secara lebih dekat."

Turut hadir pada pertemuan itu ialah Naib Pengerusi MILF, Ghazali Jaafar; ketua perunding damai Mohagher Iqbal dan lima pegawai kanan MILF yang lain, manakala delegasi AS termasuk tiga diplomat dari kedutaan AS di Manila selain Bassett.

Washington merupakan penyumbang utama bantuan ke kawasan penduduk Islam di Mindanao manakala pasukan tentera khas AS yang berpangkalan di pulau itu memberikan latihan dan maklumat perisikan kepada tentera Filipina yang memerangi puak militan.

"Kami percaya AS boleh banyak membantu usaha untuk menyelesaikan konflik secara aman," kata Ghazali kepada pihak AS, menurut kenyataan MILF itu.

Kerajaan Arroyo dan MILF yang mempunyai 12,000 anggota itu telah mengambil langkah berhati-hati ke arah menyambung semula rundingan damai rasmi sejak beberapa bulan lalu.

Rundingan itu terhenti tahun lepas selepas Mahkamah Agung Filipina menolak draf perjanjian yang dicadangkan oleh kerajaan untuk memberi MILF autonomi terhadap 'tanah warisan' mereka yang mencakupi lebih 700 pekan dan kampung di selatan negara ini.

Keputusan itu mendorong beberapa komander MILF dan pengikut mereka menyerang perkampungan pendatang Kristian di selatan Filipina, menyebabkan lebih 300 orang terbunuh dan sekitar 750,000 lagi melarikan diri.

MILF dan kerajaan Filipina menandatangani perjanjian gencatan senjata baru pada Julai lalu. - AFP

0 ulasan:

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal