Bismillahirrahmanirrahim

Wednesday, October 14, 2009

MILF nafi culik paderi

MANILA 13 Okt. - Kumpulan pemisah Islam terbesar di Filipina hari ini menafikan terlibat dalam penculikan seorang paderi warga emas berbangsa Ireland di selatan negara ini.

Sebaliknya, Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) juga menyatakan kesediaan membantu pihak tentera dan polis untuk memburu penculik Michael Sinnott, kata jurucakapnya, Eid Kabalu (gambar) kepada pemberita.

"Kami tidak terlibat dalam perkara ini dan kami tidak melihat sebarang sebab orang kami membabitkan diri dalam hal ini," kata Eid lagi, sambil menegaskan bahawa MILF bersedia menyambung semula rundingan damai dengan kerajaan.

Paderi Katolik berusia 79 tahun itu yang berada dalam keadaan uzur sejak pembedahan jantung pada tahun lalu, diculik enam lelaki dari kediamannya di Missionary Society of St Columban di bandar Pagadian pada Ahad lalu.

Polis dan tentera sebelum ini berkata, MILF atau Abu Sayyaf mungkin mendalangi penculikan terbaru itu dalam kes yang biasa disasarkan ke atas mubaligh Kristian asing dan pelancong luar negara.

"Kami tidak tahu siapa yang melakukannya, tetapi apa yang penting kami sanggup bekerjasama dan membantu kerajaan untuk mencarinya atas dasar kemanusiaan." ujar Kabalu.

Katanya, MILF dalam mekanisme membina keyakinannya sejak dahulu lagi telah membantu kerajaan mengesan penjenayah yang dikehendaki di Pulau Mindanao.

Komander MILF telah diminta agar melaporkan dengan segera jika terlihat kelibat Sinnott dan penculiknya serta bekerjsama pantas dengan kepimpinan atasan sebelum maklumat disalurkan kepada perunding kerajaan. - AFP

0 ulasan:

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal