Bismillahirrahmanirrahim

Thursday, November 5, 2009

Autonomi tidak akan berhasil

BANGKOK 5 Nov. - Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva (gambar) berkata, autonomi di selatan Thailand tidak akan berhasil.

"Saya yakin keadilan adalah cara terbaik untuk menyelesaikan konflik (di sana)," katanya pada persidangan Parlimen Thailand, hari ini ketika menjawab soalan daripada anggota Parlimen Narathiwat, Dr. Waemahadee Waedaoh.

Sesetengah pihak berpendapat kemerdekaan yang dituntut oleh kumpulan pemisah di Pattani, Yala dan Narathiwat tidak wajar, namun Thailand seharusnya menawarkan tahap tertentu autonomi kepada wilayah yang majoritinya penduduk Islam.

Timbalan Perdana Menteri Thailand Suthep Thaugsuban juga berpendapat autonomi tidak akan berhasil di wilayah itu tetapi tidak mengulas lanjut.

"Saya tidak akan buat sebarang kenyataan yang akan menimbulkan pertikaian," katanya semasa ditanya mengenai kenyataan Timbalan Presiden Pertubuhan Pembebasan Bersatu Pattani (PULO) Kasturi Mahkota bahawa mereka bersedia berunding dengan kerajaan Thailand melalui pihak ketiga, termasuk Malaysia.

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak telah menerima jemputan Abhisit untuk melawat wilayah bergolak di selatan Thailand pada bulan depan selepas mesyuarat perundingan tahunan mereka di ibu negara itu.

Lebih 3,600 orang terbunuh dalam keganasan sejak kumpulan pemisah menyambung semula perjuangan bersenjata mereka pada Januari, 2004 bagi menuntut kemerdekaan untuk Pattani, Narathiwat dan Yala yang bersempadan dengan Malaysia.

Bangkok, yang telah mengerahkan lebih 60,000 anggota tentera ke wilayah berkenaan, berkata keganasan telah menurun berbanding tahun-tahun sebelum ini, tetapi kejadian pengeboman dan tembakan masih berlaku.

Mengenai rancangan lawatan oleh pengerusi parti pembangkang Parti Puea Thai dan bekas Perdana Menteri Chavalit Yongchaiyudh ke Malaysia dan mempromosikan cadangannya bagi autonomi 'Bandaraya Pattani', Suthep berkata, beliau tidak bimbang kerana ia merupakan isu domestik.

"Kami akan meneruskan dasar-dasar kami," katanya.

Chavalit berkata, beliau telah meminta untuk mengadakan perjumpaan dengan pegawai Malaysia semasa lawatan ke Malaysia pada minggu depan untuk membincangkan beberapa isu kepentingan bersama, termasuk masalah di selatan, beras, getah dan industri halal. - BERNAMA

0 ulasan:

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal