Bismillahirrahmanirrahim

Friday, November 13, 2009

Filipina, MILF digesa berdamai

MANILA 13 Nov. - Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Rodham Clinton hari ini berkata, sudah tiba masanya bagi Filipina memeterai perjanjian damai dengan kumpulan pemisah Islam terbesar di negara ini, Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) bagi menamatkan pemberontakan yang berlarutan selama 30 tahun.

Hillary yang melakukan lawatan ke Manila menggesa kedua-dua pihak supaya mencapai perjanjian damai sebelum penggal perkhidmatan Presiden Gloria Macapagal Arroyo berakhir pada Jun tahun depan.

Diplomat tertinggi AS itu memberi amaran, suasana rundingan mungkin berubah di bawah pentadbiran Presiden baru Filipina.

"Keadaan untuk mencapai perdamaian sangat sesuai. Rakyat mahu melihatnya dan saya berharap tidak ada sesiapa yang melepaskan peluang ini," kata Hillary pada forum awam yang disiarkan di televisyen ke seluruh negara, sehari selepas membincangkan isu itu dengan Arroyo dan pegawai lain.

Hillary mengulangi komitmen dan sokongan kerajaan AS untuk membantu menguruskan rundingan dengan MILF yang menjalankan kempen pemberontakan di Pulau Mindanao sejak 1978.

Tentera Filipina melaporkan lebih 150,000 orang terkorban dalam konflik itu.

Hillary percaya Arroyo 'sudah bersedia sepenuhnya' untuk membuat keputusan sukar bagi mencapai perdamaian dengan MILF.

"Saya mendapati adalah lebih mudah untuk membuat keputusan sukar itu apabila kita sudah hampir ke penghujung penggal kita, kerana kita mengetahui apa yang perlu dipertahankan dan kita sanggup mengharungi bahang politik," kata beliau.

Manila dan MILF menandatangani gencatan senjata baru pada Julai lalu, 11 bulan selepas rundingan damai terhenti ekoran beberapa serangan gerila ke atas perkampungan pendatang Kristian di Mindanao.

Serangan diketuai beberapa komander MILF itu dilancarkan selepas Mahkamah Agung Filipina menolak draf perjanjian yang akan memberi MILF kuasa politik dan ekonomi ke atas 700 wilayah yang dituntutnya sebagai tanah warisan penduduk Islam di selatan Filipina.

Kedua-dua pihak sejak beberapa bulan lalu berkata, rundingan damai boleh disambung semula tidak lama lagi, tetapi sehingga kini rundingan itu belum menjadi kenyataan. - AFP

0 ulasan:

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal