Bismillahirrahmanirrahim

Friday, November 13, 2009

MANILA: Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton berkata semalam masanya sudah tiba bagi Filipina memeterai perjanjian damai dengan kumpulan pemisah Islam, sekali gus menamatkan pemberontakan yang sudah berlarutan selama 30 tahun.

Dalam lawatannya ke sini, Hillary menggesa kedua-dua pihak mengadakan perjanjian sebelum tamatnya penggal pemerintahan Presiden Gloria Arroyo Jun tahun depan kerana suasana rundingan mungkin berubah di bawah pentadbiran baru.

"Rakyat benar-benar mahu melihatnya. Saya berharap tiada siapa akan melepaskan peluang ini," kata Hillary menerusi satu forum awam yang disiarkan ke seluruh negara, sehari selepas membincangkan isu itu dengan Arroyo dan pegawai atasan lain.

Hillary memberi jaminan sokongan Washington dalam membantu merundingkan perjanjian damai dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang melancarkan pemberontakan pemisah di pulau selatan Mindanao sejak 1978.

Tentera Filipina berkata lebih 150,000 orang maut akibat pemberontakan itu.

Dalam menggesa tindakan segera diambil, Hillary mengingati semula bahawa suaminya, Bill Clinton hampir mencapai perjanjian damai Asia Barat sebelum tamat pemerintahan sebagai presiden Amerika.

Namun beliau berkata, pemimpin Palestin ketika itu, Yasser Arafat menolak, memikirkan beliau mungkin mendapat perjanjian lebih baik daripada pengganti Bill Clinton, namun tidak berhasil.

"Justeru, ambil peluang yang ada, ketika rakyat masih berminat dan mahu perjanjian damai. Jangan tidur atau berehat sehingga matlamat tercapai," katanya kepada sekumpulan pelajar dalam forum.

Hillary berkata beliau percaya Arroyo bersedia membuat keputusan sukar yang perlu bagi mencapai perdamaian dengan MILF.

"Apa yang saya ketahui ialah adalah lebih mudah untuk membuat keputusan sukar ketika anda di ambang mahu menamatkan penggal pemerintahan. Kerana ketika itu anda tahu apa yang penting dibuat dan bersedia menghadapi segala serangan politik," kata Hillary.

Manila dan 12,000 anggota MILF menandatangani perjanjian gencatan senjata Julai lalu, 11 bulan selepas rundingan damai panjang tertangguh akibat beberapa siri serangan gerila maut ke atas penduduk Kristian di Mindanao.

Serangan itu tercetus selepas mahkamah agung menolak cadangan perjanjian yang memberi MILF kawalan politik dan ekonomi ke atas lebih 700 jajahan yang didakwanya warisan turun temurun. – AFP

0 ulasan:

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal