Bismillahirrahmanirrahim

Monday, December 14, 2009

Mindanao berkocak lagi



SEORANG komando polis memeriksa lubang pada dinding penjara di Basilan yang disyaki telah dikorek oleh anggota MILF untuk membebaskan komander dan 30 orang anggotanya di pekan Isabela, Basilan, kelmarin. - AFP


MANILA 14 Dis. - Kira-kira 2,000 askar dikerahkan ke Mindanao, selatan Filipina hari ini untuk memburu 31 militan dan banduan lain yang melarikan diri dari sebuah penjara, termasuk sekumpulan gerila yang dituduh oleh tentera melancarkan serangan untuk membebaskan tahanan berkenaan.

Askar membunuh seorang tahanan anggota kumpulan Abu Sayyaf sementara seorang lagi tahanan menyerah diri, kata seorang komander kanan tentera.

Mejar Jeneral Benjamin Dolorfino mendakwa gerila Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) melancarkan serangan ke atas penjara wilayah di pulau Basilan semalam.

Beliau menuntut pertubuhan itu menyerahkan 10 gerila yang melarikan diri atau menyertai serangan yang menyebabkan seorang pengawal dan seorang penyerang terbunuh.

MILF yang menyambung semula rundingan damai dengan kerajaan Filipina di Malaysia minggu lepas, menafikan pembabitan mereka dalam kejadian itu tetapi mengakui sekurang-kurangnya seorang anggotanya terbunuh ketika menyertai serangan.

Serbuan ke atas penjara itu adalah yang terbaru dalam rentetan krisis yang melanda selatan Filipina.

Kira-kira 70 lelaki bersenjata yang menggunakan tukul besar dan pemotong besi memecahkan dinding konkrit penjara, sebelum masuk untuk membebaskan rakan-rakan mereka.

Lima pejuang Moro dan 12 anggota Abu Sayyaf melarikan diri, manakala yang lainnya adalah penjenayah biasa, kata Timbalan Gabenor Basilan, Al Rasheed Sakalahul.

Beliau turut menggesa Presiden Gloria Macapagal Arroyo mengisytiharkan keadaan darurat dan menempatkan lebih banyak askar di wilayah tersebut.

Gerila yang menyerang penjara itu dipercayai mahu membebaskan lima rakan mereka yang diketuai oleh seorang komander kanan, Dan Asnawi.

Mereka berlima ditahan selepas dituduh memenggal kepala 10 askar marin semasa pertempuran di Basilan pada 2007, kata Dolorfino.

Jurucakap MILF, Eid Kabalu mengakui Asnawi adalah seorang komander mereka dan seorang daripada anak saudara Asnawi turut serta dalam serangan ke atas penjara itu tetapi tindakannya tidak direstui oleh pucuk pimpinan MILF.

Beliau memberi jaminan serangan itu tidak akan menjejaskan rundingan damai antara MILF dengan Manila.

Kejadian tahanan bolos itu berlaku pada hari sama sekumpulan lelaki bersenjata daripada puak Manobo membebaskan 47 penduduk kampung berikutan rundingan empat hari dengan pihak berkuasa di kawasan terpencil di wilayah Agusan del Sur, selatan negara ini. - AP

0 ulasan:

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal