Bismillahirrahmanirrahim

Monday, February 1, 2010

Autonomi baru MILF



Annabelle Abaya


MANILA 1 Feb. – Filipina menawarkan ‘autonomi yang dipertingkatkan’ kepada puak pemisah Islam di selatan negara ini dengan harapan untuk memeteraikan perjanjian damai bagi menamatkan pemberontakan yang berlarutan selama 40 tahun.

Ketua perunding kerajaan Filipina, Annabelle Abaya (gambar) hari ini berkata, Manila berharap tawaran terbaru itu akan meyakinkan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) supaya menandatangani perjanjian damai sebelum Presiden baru Filipina mengangkat sumpah pada 30 Jun ini.

“Presiden menawarkan perkongsian kuasa di bawah sistem autonomi yang dipertingkatkan,” kata Abaya.

Perkongsian kuasa dengan masyarakat Islam minoriti akan meliputi bidang seperti pengutipan cukai dan kawalan ke atas sumber asli di kawasan selatan Filipina yang dituntut oleh penduduk Islam negara ini sebagai tanah nenek moyang mereka.

Tawaran tersebut dibuat di Malaysia minggu lepas semasa panel-panel perunding MILF dan kerajaan Filipina bermesyuarat di Kuala Lumpur dalam rundingan damai rasmi yang pertama sejak pertempuran meletus pada 2008 berhubung draf perjanjian damai yang ditolak oleh Mahkamah Agung kerana disifatkan menyalahi perlembagaan.

Abaya menegaskan, tawaran terbaru kerajaan itu tidak bertujuan untuk ‘memecahbelahkan’ negara dan tidak memerlukan pindaan perlembagaan.

MILF dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam berkata, kerajaan ‘tidak menawarkan sesuatu yang baru’ dan kerana itu mereka memutuskan untuk tidak meneruskan penyertaan dalam rundingan pusingan terbaru.

Bagaimanapun Abaya berkata, kedua-dua pihak selepas bertukar-tukar draf perjanjian bersetuju untuk berunding dengan penyokong masing-masing sebelum meneruskan rundingan.

MILF mengesahkan rundingan damai dijadual disambung semula di Kuala Lumpur pada 18 Februari ini.

Presiden Gloria Macapagal Arroyo melancarkan rundingan damai dengan MILF pada 2001 dalam usaha untuk menamatkan konflik pemisah di Pulau Mindanao yang sentiasa bergolak tetapi kaya dengan hasil galian.

Namun rundingan terhenti selepas Mahkamah Agung pada Ogos 2008 menolak draf perjanjian damai yang sepatutnya memberi kuasa kepada MILF ke atas banyak kawasan di selatan Filipina.

Hampir 400 orang terbunuh dan lebih 700,000 lagi terpaksa berpindah semasa kemuncak pertempuran berikutan keputusan mahkamah tersebut. Perjanjian gencatan senjata baru ditandatangani pada September lalu, membolehkan rundingan damai disambung semula. – AFP

0 ulasan:

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal