Bismillahirrahmanirrahim

Monday, February 1, 2010

MANILA: Filipina menawarkan 'autonomi tambahan' kepada pemisah Islam dengan harapan dapat memeterai perjanjian damai bagi menamatkan pemberontakan 40 tahun di selatan negara itu, kata ketua perunding kerajaan, di sini semalam.

Annabelle Abaya berkata, kerajaan berharap tawaran baru itu akan meyakinkan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) untuk menandatangani perjanjian damai sebelum presiden baru Filipina mengangkat sumpah jawatan pada 30 Jun depan.

"Dalam autonomi tambahan itu, presiden menawarkan perkongsian kuasa," kata Abaya kepada media.

Perkongsian kuasa dengan minoriti besar Islam akan meliputi aspek seperti kutipan cukai dan kawalan sumber asli di kawasan selatan yang dianggap penduduk Islam Filipina adalah warisan nenek moyang mereka.

Tawaran itu dibuat di Malaysia minggu lalu apabila MILF dan panel kerajaan bertemu di Kuala Lumpur dalam rundingan damai rasmi pertama sejak pemberontakan meletus pada 2008 berhubung satu draf perjanjian damai yang gagal.

Draf awal itu dimansuhkan oleh Mahkamah Agung, yang memutuskan ia tidak mengikut Perlembagaan.

Abaya menegaskan, tawaran baru kerajaan tidak bertujuan 'memecahbelahkan' negara dan tidak memerlukan pindaan kepada Perlembagaan.

MILF, dalam satu kenyataan dikeluarkan hujung minggu, pula berkata Manila 'tidak membuat apa-apa tawaran baru' dan hasilnya mereka mengambil keputusan minggu lalu untuk tidak meneruskan pusingan akhir rundingan.

Bagaimanapun, Abaya berkata, selepas pertukaran perjanjian draf itu, kedua-dua pihak bersetuju untuk berunding dengan pemimpin akar umbi di tanah air sebelum meneruskan rundingan.

"Ini adalah deraf pertama. Dalam draf pertama, anda biasanya menetapkan pendirian dan kemudian menukar kedudukan bergantung apa yang difikirkan pihak satu lagi," katanya.

MILF mengesahkan hujung minggu bahawa rundingan damai akan diteruskan di Kuala Lumpur pada 18 Februari.

Abaya berkata, draf pertama memfokuskan langkah yang 'dipersetujui' presiden serta cadangan yang boleh dibangkitkan dalam perundangan.

Beliau juga berkata pendirian kedua-dua pihak tidak jauh berbeza. "Lapan puluh peratus apa yang dicadangkan MILF boleh dimasukkan dalam cadangan panel kerajaan," katanya.

Presiden Gloria Arroyo membuka rundingan damai dengan MILF yang mempunyai anggota seramai 12,000 orang pada 2001 dalam usaha menamatkan perang pemisahan berdarah di pulau bergolak kaya mineral, Mindanao. � AFP

0 ulasan:

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal