Bismillahirrahmanirrahim

Wednesday, February 17, 2010

MANILA 17 Feb. - Pejuang Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) menolak tawaran autonomi terbaru yang dikemukakan oleh kerajaan Filipina, sekali gus menjadikan sukar untuk mencapai sebarang perjanjian damai sebelum Presiden Gloria Macapagal Arroyo menamatkan perkhidmatan pada Jun ini.

Perunding kerajaan dan MILF yang mempunyai 11,000 anggota itu menyambung semula rundingan damai pada bulan lalu, setelah setahun proses damai tergendala.

Semasa rundingan anjuran Malaysia bulan lepas, perunding Manila menawarkan autonomi terhad yang sudah pun ditolak sebanyak dua kali oleh MILF kerana autonomi itu memberi mereka terlalu sedikit kuasa di wilayah yang terbatas, kata perunding MILF, Mohagher Iqbal.

MILF sebaliknya membentangkan draf perjanjian damai yang akan memberi penduduk Islam di selatan Filipina kuasa lebih besar di wilayah lebih luas yang termasuk dalam bidang kuasa kerajaan pusat di Manila, kata Iqbal.

Beliau memberi amaran, rundingan mungkin tergendala lagi jika kerajaan enggan berganjak daripada pendiriannya.

"Mereka akan terus menjadi raja dan kami akan menjadi rakyat mereka di bawah tawaran mereka itu. Kebuntuan akan berlaku jika mereka enggan berganjak," kata Iqbal.

Kebuntuan mungkin meresahkan lagi sesetengah komander MILF yang meragui faedah berunding dengan kerajaan dan mahu meneruskan pemberontakan bersenjata.

MILF yang kecewa dengan tawaran kerajaan itu menangguhkan pusingan rundingan selanjutnya yang dijadualkan di Malaysia pada minggu ini.

Perunding kerajaan, Rafael Seguis berkata, tawaran yang dikemukakannya kepada perunding MILF adalah 'langkah pembukaan konservatif' kerana pendirian kerajaan mesti mengikut undang-undang Filipina dan banyak tuntutan MILF akan memerlukan kelulusan undang-undang baru. - AP

0 ulasan:

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal