Bismillahirrahmanirrahim

Tuesday, March 2, 2010

5 bom meletup di Thailand, dua cedera

BANGKOK 2 Mac - Lima bom kecil yang disyaki ditanam oleh pemberontak meletup hari ini di luar premis bank dan mesin ATM di selatan Thailand menyebabkan dua orang cedera, manakala tiga lagi bom berjaya dimatikan.

Serangan itu menyasarkan premis bank yang dikendalikan oleh kerajaan di wilayah Narathiwat, satu daripada tiga wilayah di selatan Thailand yang dihuni oleh majoriti penganut Islam dalam negara yang mempunyai ramai penganut Buddha.

Kesemua bom itu dikawal dari jarak jauh menggunakan telefon bimbit atau jam digital dan meletup sebelum bank-bank tersebut dibuka pada hari ini, menurut Mejar Chaitat Inthanujit, komander pasukan polis Narathiwat.

Pihak berkuasa telah mematikan tiga bom lain, yang berada berdekatan dengan mesin ATM di bank yang dikendalikan oleh kerajaan itu.

Seorang wanita yang bertugas sebagai tukang sapu jalan mengalami kecederaan akibat letupan itu yang berlaku berdekatan bank Krung Thai cawangan Muang, manakala seorang lelaki berusia 26 tahun pula cedera akibat letupan di hadapan bank Simpanan Kerajaan di daerah Ra-ngae.

Menurut Chaitat, siasatan awal mendapati serangan itu adalah maklum balas kepada cubaan untuk mencetuskan keganasan di selatan, baru-baru ini dan tiada kaitan dengan empat letupan yang berlaku di luar bank di ibu negara, Bangkok pada Sabtu lalu.

Pihak berkuasa telah menyalahkan serangan di Bangkok, yang tidak melibatkan sebarang kecederaan, terhadap penyokong bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra, meskipun tiada penahanan dilakukan.

Kesemua serangan itu berlaku sehari selepas Mahkamah Agung mengeluarkan perintah supaya aset Thaksin berjumlah AS$1.4 bilion (RM4.9 bilion) disita atas tuduhan rasuah sepanjang beliau berkhidmat sebagai Perdana Menteri sebelum digulingkan oleh tentera pada 2006.

Pemberontak di selatan, bagaimanapun masih belum membuat sebarang pengumuman, namun dijangka terus berjuang untuk mewujudkan sebuah negara Islam.

Mereka kerap melakukan serangan di pejabat-pejabat dan premis perniagaan yang dimiliki oleh kerajaan. - AP

0 ulasan:

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal