Bismillahirrahmanirrahim

Tuesday, March 2, 2010

Pemantau kita kembali ke Mindanao


MEJAR Jeneral Datuk Baharom Hamzah memberi tabik hormat sebaik tiba di Lapangan Terbang Awang, Maguindanao.

COTABATO: Pemantau keamanan antarabangsa diketuai Malaysia kembali ke wilayah selatan Filipina buat pertama kali sejak pemisah melancarkan kempen serangan pada 2008.

Pasukan itu mempunyai tugas berat untuk memastikan gencatan senjata membabitkan kerajaan dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dipatuhi ketika kedua pihak berunding untuk satu perjanjian damai.

“Dengan kehadiran semula Pasukan Pemantau Antarabangsa, rundingan damai akan kembali diadakan,” kata Setiausaha Rendah Luar, Rafael Seguis yang juga ketua pendamai kerajaan dengan pemisah, dalam satu kenyataan.

Katanya, ia juga akan mengukuhkan pemantauan keselamatan di kawasan itu.

Bagaimanapun, kedatangan pemantau itu hanya beberapa minggu selepas MILF berkata tidak mungkin satu perjanjian dapat dicapai dengan kerajaan Gloria Arroyo yang menyerah kuasa pada 30 Jun ini.

Pasukan pertama pemantau membabitkan sekumpulan 20 anggota delegasi dari Malaysia, Brunei, Libya dan Jepun mendarat di lapangan terbang Cotabato di Mindanao yang dikawal ketat pada malam Ahad lalu.

Kumpulan lain membabitkan sekumpulan 60 anggota tiba beberapa minggu lagi.

Malaysia menjadi orang tengah rundingan damai yang bertujuan menamatkan pemberontakan pemisah MILF selama 32 tahun yang sudah mengorbankan lebih 150,000 penduduk.

Pasukan pemantau pertama kali tiba di Mindanao pada 2004 berikutan satu gencatan senjata terbesar pertama antara kedua pihak tahun sebelumnya.

Mereka menarik diri dari Mindanao pada September 2008 selepas MILF melancarkan serangan baru kerana membantah perintah mahkamah yang yang menolak rancangan mengadakan rundingan untuk memberikan hak autonomi kepada pemisah.

Kira-kira 400 penduduk terbunuh dan 700,000 hilang tempat tinggal berikutan pertempuran berkenaan, sebelum satu gencatan senjata baru ditandatangani tahun lalu. - AFP

0 ulasan:

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal