Bismillahirrahmanirrahim

Monday, June 21, 2010

PATTANI: Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun tercedera dalam satu kejadian tembak-menembak yang mengorbankan ibu bapanya menerusi insiden terbaru keganasan di selatan Thailand.
Menurut sumber polis, serangan yang mensasarkan bekas pemandu renjer hutan dan keluarganya di daerah Muang di Pattani Sabtu lalu itu berlaku beberapa minit selepas serangan bom di sebuah masjid di Sai Buri yang turut mencederakan seorang budak lelaki berusia sembilan tahun.

Dilaporkan kira-kira satu nyawa terkorban setiap hari beberapa minggu ini ekoran insiden pemberontakan antikerajaan yang menular di selatan Thailand yang majoriti penduduknya beragama Islam. - AFP Lebih 4,100 nyawa orang Islam dan penganut Buddha terkorban sejak enam tahun lalu berikutan serangan yang dipercayai dilakukan militan pemisah Islam. - AFP

Thursday, June 17, 2010

Pemisah Thai diseksa

YALA: Sebuah kumpulan hak asasi manusia semalam menggesa pihak berkuasa Thailand menyiasat kematian seorang suspek militan yang mati ketika dalam tahanan tentera di selatan negara itu baru-baru ini.

Human Rights Watch (HRW) berkata, Sulaiman Naesa yang ditemui tergantung di Kem Tentera Ingkhayuth 30 Mei lalu mati atas sebab-sebab yang mencurigakan. Keluarganya mendakwa beberapa tanda penyeksaan jelas kelihatan pada mayat mangsa.


Sulaiman dituduh terbabit dalam 14 serangan terhadap orang awam dan pasukan keselamatan, kebanyakannya di daerah Sa Buri, wilayah Pattani, kata pihak berkuasa tentera kepada HRW.


Dia ditahan pada 22 Mei lalu dan ditahan di bawah kuasa darurat yang digunakan untuk memerangi gerakan menuntut kemerdekaan di wilayah yang majoriti penduduknya beragama Islam sejak enam tahun lalu.


“Tentera Thai berdepan dengan tentangan sengit daripada pejuang pemisah di selatan Thai. Tetapi itu bukan alasan untuk mereka melayan suspek yang dalam tahanan dengan kejam,” kata jurucakap HRW, Elaine Pearson.


“Kematian Sulaiman meningkatkan kebimbangan terhadap kemungkinan tentera sekali lagi menggunakan taktik penyeksaan dan cara yang diharamkan terhadap tahanan.” Menurut Pearson, langkah mendakwa anggota tentera berhubung penyalahgunaan kuasa terhadap tahanan boleh membantu mengurangkan ketegangan.


Sebahagian pemisah menggunakan alasan keganasan tentera untuk mewajarkan serangan mereka.


Lebih 4,100 orang, baik Islam dan juga Buddha, mati sepanjang gerakan antikerajaan di selatan negara itu sejak 2004, Ia membabitkan kumpulan militan dan pemisah yang identiti mereka tidak berapa jelas.


Kumpulan berkenaan juga tidak pernah menyatakan secara terbuka matlamat mereka.


Dalam pada itu, polis semalam berkata, lima orang lagi terbunuh dalam keganasan ketika kekacauan terus meningkat. - AFP

Tuesday, June 15, 2010

4 lagi warga Yala ditembak mati

YALA: Kumpulan disyaki militan menembak mati empat lagi penduduk di selatan Thailand semalam, kata polis yang menambah, serangan memberi amaran keganasan akan meningkat semula di wilayah itu.

Kejadian letupan bom dan tembakan di tiga wilayah di selatan negara itu yang turut menyebabkan 11 orang cedera, turut membabitkan letupan bom di luar sebuah sekolah yang menyebabkan seorang anggota tentera terbunuh.

Seramai 12 orang dibunuh sepanjang bulan ini dipercayai dilakukan militan pemisah selepas keadaan tenang pada Mei lalu, apabila 20 orang terbunuh.

Pakar berkata, militan cuba meningkatkan kehadiran mereka selepas dibayangi tunjuk perasaan antikerajaan selama dua bulan di Bangkok yang berakhir 19 Mei lalu.

“Pemisah cuba menunjukkan mereka masih aktif dan mampu melakukan serangan,” kata penganalisis Human Rights Watch, Sunai Phasuk.

Beliau berkata kempen radikal menggunakan alasan pelanggaran hak asasi untuk ‘menghalalkan’ serangan mereka masih berterusan.

“Pemisah dilihat meningkatkan kempen sebagai reaksi balas kepada kematian Sulaiman Naesa, 25, ketika di dalam tahanan. Sulaiman ditemui mati tergantung di kem tentera Ingkhayuth, 30 Mei lalu.
Human Rights Watch yang berkata mayat Sulaiman dipenuhi kesan penyeksaan, mahu kerajaan memberi penjelasan mengenai insiden itu, kematian dalam tahanan pertama diketahui sejak 2007.

“Kami bimbang kerajaan cuba merahsiakan perkara ini dan ia akan digunakan pemisah sebagai alasan untuk menyerang balas,” kata Sunai.

Lebih 4,000 orang Islam dan Buddha terbunuh dalam gerakan antikerajaan di selatan diketuai pemisah yang tidak mendedahkan matlamat mereka secara terbuka. – AFP

Sunday, June 13, 2010


PASUKAN keselamatan menjalankan siasatan ke atas lokasi kejadian letupan di wilayah Yala, selatan Thailand semalam. - REUTERS


BANGKOK 13 Jun - Kumpulan pejuang pemisah disyaki membunuh lima penduduk dan mencederakan 24 orang cedera dalam satu hari berdarah yang menyaksikan pengeboman dan tembak-menembak di kawasan bergolak selatan Thailand.

Menurut polis hari ini, dua butir bom tangan buatan sendiri yang dilontar kumpulan pemisah telah mengorbankan seorang sami Buddha berusia 35 tahun dan mencederakan 24 lagi penduduk.

Pada hari yang sama, empat lelaki terbunuh dalam satu insiden tembakan berasingan di Yala, Narathiwat dan Pattani.

Lebih 4,100 penduduk baik yang beragama Buddha atau Islam menjadi mangsa korban dalam pemberontakan enam di selatan Thailand yang tidak pernah menyatakan secara jelas matlamat mereka.

Wilayah itu merupakan sebahagian daripada Kesultanan Melayu sehinggalah dijajah Thailand pada 1902 dan sejak itu berlaku ketegangan yang seterusnya mencetuskan bermulanya pemberontakan pada Januari 2004. - AFP

Wednesday, June 9, 2010

Budak mati dibom militan

YALA: Seorang budak perempuan berusia 5 tahun terbunuh dan 23 lagi cedera, dua daripadanya parah selepas dua militan melempar bom tangan berhampiran sebuah masjid di Yala, semalam.

Bom itu didakwa dilempar ke arah sebuah trak tentera tapi lemparan tersasar dan meletup di sebuah pasar malam berhampiran masjid itu.

Lebih 4,100 orang terbunuh sejak krisis keselamatan melanda wilayah selatan Thailand sejak enam tahun lalu. - AFP

Thursday, June 3, 2010

Ketua pejuang Aceh meninggal

BANDA ACEH: Pengasas kumpulan pejuang kemerdekaan Aceh, Teungku Hasan Muhammad di Tiro, menghembus nafas terakhirnya di sebuah hospital, semalam, selepas dirawat di situ kerana masalah jantung dan jangkitan paru-paru.

Dia berusia 84 tahun.


Ketua Pengarah Perkhidmatan Perubatan, Kementerian Kesihatan, Farid Husein, berkata, Teungku Hasan disahkan meninggal di Hospital Awam Zaenal Abidin di Banda Aceh.


Katanya, bekas pemimpin Gerakan Aceh Merdeka (GAM) itu mula dirawat di hospital sejak 11 hari lalu.


Kematian Teungku Hasan berlaku hanya sehari selepas kerajaan mengembalikan kewarganegaraannya selepas ditarik balik atas pembabitannya dalam perjuangan kemerdekaan Aceh ketika dalam pembuangan.


Beliau meninggalkan Aceh sejurus selepas perang saudara tercetus di wilayah itu pada 1976 dan kembali ke tanah airnya pada 2008.


Beliau memimpin perjuangan GAM dari Sweden selama tiga dekad.


Ketika berlindung di situ, Sweden turut memberikan taraf warga negara kepada Teungku Hasan.


Kaya dengan sumber minyak dan gas asli, wilayah Aceh didiami kira-kira empat juta orang dan terletak di utara Sumatera.


Ia mengalami konflik hampir tiada henti selama lebih 140 tahun dan mengorbankan sekurang-kurangnya 15,000 nyawa.


Bencana tsunami yang melanda Aceh dan mengorbankan sekurang-kurangnya 156,000 orang pada 26 Disember 2004 akhirnya mencetuskan perdamaian di antara pejuang kemerdekaan dan Jakarta. - AP

JAKARTA 3 Jun – Pemimpin yang bertanggungjawab mengisytiharkan perjuangan Gerakan Aceh Merdeka (GAM), Hasan Tiro meninggal dunia pada pukul 12.25 tengah hari waktu tempatan hari ini.

Hasan atau nama penuhnya Tengku Hasan Muhammad di Tiro meninggal dunia pada usia 85 tahun ketika dirawat di Hospital Dr. Zainoel Abidin di Aceh kerana mengalami jangkitan paru-paru sejak seminggu lalu.

Hasan Tiro dikebumikan di Mureu, Aceh Besar, berdekatan dengan makam Tgk Chik Di Tiro, pahlawan Indonesia yang juga nenek moyang kepada Hasan Tiro.

Hasan Tiro dilahirkan pada 25 September 1925 di Tiro, Pidie, 110 kilometer dari Banda Aceh ke arah timur dan pada awal 1948 beliau menjadi kakitangan Naib Perdana Menteri II, Syafruddin Prawiranegara.

Pada tahun 1970-an, beliau berhijrah ke New York, Amerika Syarikat dan menjadi ahli perniagaan di sana.

Pada 4 Disember 1976, Hasan Tiro mengisytiharkan GAM dan membentuk Angkatan Gerakan Aceh Merdeka (AGAM). Markas gerakan itu dibangunkan di hutan Pidie.

Selepas itu pada tahun 1979 Hasan Tiro kembali ke luar negara untuk mendapatkan sokongan politik. Dia mendapat kewarganegaraan Sweden.

Setelah itu antara tahun 1986 hingga 1989, Hasan Tiro memerintahkan sekitar 800 pemuda Aceh untuk menjalani latihan ketenteraan di Libya. Sebaik pulang dari Libya, mereka melancarkan perang secara gerila di Aceh melawan tentera Indonesia.

Para pemimpin tertinggi GAM di Stafanger, Norway pada 21 Juli 2002 telah menyusun semula GAM dan Hasan Tiro dilantik sebagai pemimpin tertinggi dan AGAM ditukar kepada Tentera Negara Aceh (TNA).

Pada 15 Ogos 2005 kerajaan Indonesia dan GAM menandatangani perjanjian perdamaian di Helsinki, Finland dan anggota GAM diberi pengampunan.

Pada 19 Disember 2005, sebanyak 840 pucuk senjata api milik GAM diserahkan kepada Misi Pengawasan Aceh (AMM), yang dianggotai lima negara ASEAN dan beberapa negara Kesatuan Eropah.

Ekoran itu pada 27 Disember 2005 TNA secara rasmi dibubarkan dan diganti dengan Jawatankuasa Peralihan Aceh (KPA) bagi membantu bekas anggota TNA menyesuaikan diri dengan masyarakat awam.

Setelah pulang ke Aceh pada Oktober 2008 Hasan Tiro akhirnya diterima kembali sebagai warga negara Indonesia. – Utusan

KUALA LUMPUR 3 Jun - Pasukan perunding kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) memeterai perjanjian di sini hari ini, untuk meneruskan rundingan damai dan memberi negara-negara Eropah peranan lebih besar dalam usaha untuk menamatkan konflik di selatan Filipina.

Sejak 1997, Manila mengadakan rundingan yang terputus-putus dengan MILF untuk menamatkan pemberontakan puak pemisah Islam di Pulau Mindanao, konflik yang telah meragut 120,000 nyawa dan menyebabkan dua juta penduduk hilang tempat tinggal dalam tempoh empat dekad lalu.

Penggal kerajaan sekarang pimpinan Presiden Gloria Macapagal Arroyo tamat pada 30 Jun dan Benigno Aquino III dijadual diisytiharkan secara rasmi sebagai presiden akan datang pada awal minggu depan.

Dalam rundingan dua hari di Kuala Lumpur yang berakhir hari ini, kedua-dua pihak bersetuju untuk meneruskan usaha damai semasa tempoh peralihan kuasa.

"Kami bersetuju untuk mencari formula baru bagi mencapai penyelesaian politik terhadap masalah Mindanao berdasarkan perdamaian yang adil dan layanan sama rata terhadap identiti dan hak kami sebagai bangsa Moro," kata ketua perunding MILF, Mohagher Iqbal.

Menurutnya, pemantau perdamaian dari Norway dijangka menyertai pasukan yang terdiri daripada askar tidak bersenjata dan anggota polis dari Malaysia, Brunei, Libya dan Jepun untuk memantau gencatan senjata antara kedua-dua pihak.

Aquino yang tidak terlibat dalam rundingan damai telah memberi jaminan, beliau akan meneruskan rundingan dengan puak pemisah Islam dan gerila komunis di seluruh negara. Beliau mahu menggalakkan pelaburan di kawasan yang kaya dengan sumber asli seperti Mindanao.

Rundingan damai yang dianjurkan oleh Malaysia sejak 2001 itu meliputi isu-isu perkongsian kuasa dan kekayaan serta peluasan wilayah yang hendak dimasukkan dalam kawasan autonomi Islam di selatan negara majoriti Roman Katolik ini. - Reuters

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal