Bismillahirrahmanirrahim

Thursday, July 1, 2010

MANILA 1 Julai - Pentadbiran Presiden baru Filipina, Benigno Aquino III akan menyambung semula rundingan damai dengan gerila komunis dan puak pemisah Islam bagi menamatkan pemberontakan oleh kedua-dua kumpulan itu tetapi akan mengkaji semula struktur proses damai.

Penasihat Perdamaian presiden, Teresita Quintos Deles hari ini berkata, pentadbiran Aquino akan juga menubuhkan sebuah dana dalam tempoh 100 hari akan datang untuk membantu penduduk yang melarikan diri berikutan pertempuran di Mindanao.

"Penyelesaian politik menerusi rundingan ialah satu-satunya cara untuk menamatkan konflik bersenjata dalam erti kata sebenar. Rundingan sudah tentu akan dijalankan," kata Deles.

Kerajaan Filipina memerangi dua pemberontakan, satu oleh gerila komunis dan satu lagi oleh puak pemisah Islam sejak akhir 1960-an lagi.

Ancaman keselamatan domestik itu menyebabkan program pembangunan tergendala di beberapa wilayah di negara ini, terutamanya di Mindanao yang kaya dengan sumber asli.

Rundingan damai dengan kumpulan komunis, Barisan Demokratik Kebangsaan (NDF) dan puak pemisah Islam terbesar, Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) merupakan proses yang kerap tergendala dan perjanjian yang boleh diterima oleh kedua-dua pihak masih sukar dicapai.

"Kita mahu memantapkan pasukan perunding dan melibatkan pihak berkepentingan yang lain, termasuk ahli Kongres dan pegawai tempatan, dan mengelakkan kesilapan silam," kata Deles kepada wartawan.

Seluruh dasar perdamaian akan dikaji semula, termasuklah peranan perantara asing, ujar beliau.

Malaysia menganjurkan rundingan antara Manila dengan MILF sejak 2001, dan turut mengetuai pasukan pemantau perdamaian antarabangsa di Mindanao. manakala Norway membantu mengatur rundingan dengan NDF. - Reuters

0 ulasan:

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal