Bismillahirrahmanirrahim

Friday, July 23, 2010

MAYAT lelaki Islam yang ditembak  ketika menaiki basikal di kampungnya di Pattani, dituntut oleh keluarganya sambil diperhatikan tentera yang berkawal  di kawasan itu, kelmarin.
MAYAT lelaki Islam yang ditembak ketika menaiki basikal di kampungnya di Pattani, dituntut oleh keluarganya sambil diperhatikan tentera yang berkawal di kawasan itu, kelmarin.


KERAJAAN Thailand berjaya mengurangkan keganasan di wilayah selatan menerusi pendekatan mesra rakyat tetapi pemimpin masyarakat dan agama Islam di sini meminta pemerintah tidak terlalu yakin bahawa masalah semakin selesai.

Pemimpin Islam tempatan berpendapat, selagi ada pihak menganggap masih wujud ketidakadilan terhadap penduduk selatan Thai, keganasan akan berlarutan.
Sedikit sebanyak pendekatan mesra rakyat menerusi program bantuan dipanggil ‘sufficient economy’ iaitu mewujudkan perkampungan tani membolehkan penduduk Islam meraih pendapatan lebih tinggi.

Di perkampungan itu, penduduk diajar menjadi penternak, menanam sayur selain menjadi tempat rawatan ketagihan dadah manakala pihak tentera menawarkan rawatan pergigian percuma dengan mewujudkan klinik tidak jauh dari situ.

Perkampungan itu yang diwujudkan di tiga wilayah bergolak iaitu Narathiwat, Pattani dan Yala membolehkan penduduk lebih mempercayai pemerintah di Bangkok yang berjanji membantu membangunkan wilayah berkenaan.

“Penduduk dapat mengenali, memahami dan mempercayai askar yang berada di situ bagi melaksanakan program bantuan kerajaan,” kata Ketua Turus Tentera Unit Komunikasi Divisyen Pertama Pengawal Diraja Thailand, Songwit Noonpakdee.
Kira-kira 30,000 askar melakukan tugas meronda, memantau dan menjaga keamanan selain terbabit dalam program tajaan kerajaan itu. Hasilnya, kes keganasan yang berlaku berkurangan sejak enam tahun lalu.

Pada 2004, 1,700 kes keganasan dicatat dan meningkat kepada 2,100 pada 2005 dan 2006 sebelum menurun kepada 800 kes pada tahun lalu dan 500 kes tahun ini, hingga bulan Jun.

Songwit percaya, peruntukan yang diberikan kerajaan kepada wilayah selatan sebanyak 63 bilion baht (RM6.3 juta) bagi membangunkan ekonomi penduduk akan menjadi faktor mengurangkan keganasan.

Kepercayaan itu dikongsi bersama Imam Masjid Jumiah, Hussain Azam Tarip yang berkata peruntukan kerajaan itu yang juga dalam bidang pendidikan akan menghasilkan lebih ramai graduan Muslim.

Pada masa sama, beliau mengingatkan kerajaan bahawa penduduk Islam belum melupakan tragedi Tak Bai apabila 60 warga tempatan maut ketika dalam tahanan askar.

Selain itu, pengabaian pemerintah terhadap masyarakat Muslim selama beberapa dekad juga bermain di fikiran.

Ditanya sama ada penduduk masih menyimpan dendam atau curiga dengan kerajaan, beliau berkata: “Keluarga mangsa mungkin ada yang mahu menuntut bela. Wajib menuntut bela jika ada kezaliman.

“Kebanyakan orang jika anda tanya, tidak ramai yang mempercayai kerajaan. Mereka takut juga, lain di mulut lain di hati.”

Pada masa sama, beliau percaya, penduduk Islam di selatan tidak mahu keluar daripada pemerintahan Thailand kerana mereka sudah selesa di sini.

“Jika Kementerian Dalam Negeri tanya sama ada penduduk Islam mahu berpisah dengan Thailand, 80 peratus akan kata tidak mahu,” katanya.

0 ulasan:

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal