Bismillahirrahmanirrahim

Tuesday, July 20, 2010

Suara selatan Thai diambil kira

BANGKOK 20 Julai – Perdana Menteri Thailand Abhisit Vejjajiva berkata, kerajaannya akan mengambil kira “suara” rakyat di wilayah selatan yang bermasalah, dalam undang-undang baru yang akan diluluskan oleh Parlimen tidak lama lagi.

Beliau mengakui bahawa pendekatan seumpama itu adalah penting untuk memastikan isu yang telah lama berlarutan di tiga wilayah di selatan itu - Narathiwat, Yala dan Pattani - akan diselesaikan.

“Dengan undang-undang baru yang akan diluluskan, kerajaan akan mendapatkan input terus daripada penduduk tempatan di wilayah selatan,” katanya.

Abhisit berkata demikian ketika bercakap kepada 14 wartawan dari negara-negara Asia yang menghadiri program media di sini (dari 18 hingga 24 Julai) di pejabatnya, semalam.

Lebih 3,500 orang terbunuh sejak kumpulan pemisah melancarkan semula gerakan bersejata pada Januari 2005 untuk menuntut kemerdekaan di tiga wilayah yang mempunyai majoriti penduduk beragama Islam tersebut iaitu Yala, Pattani dan Narathiwat.

Bangkok menghantar lebih 60,000 anggota pasukan keselamatan untuk memerangi kumpulan pemberontak yang sering melancarkan keganasan melalui letupan bom jalanan, melepaskan tembakan dan pelbagai taktik keganasan yang lain.

Abhisit berkata, kerajaan Thai telah mengadakan perbincangan dan dialog dengan masyarakat tempatan serta pemimpin agama di wilayah itu, mengenai apa yang mereka inginkan.

Beliau turut menegaskan bahawa sehingga kini, tiada individu atau kumpulan yang tampil mengaku bertanggungjawab apabila sesuatu kejadian keganasan berlaku di wilayah selatan.

“Walaupun keganasan berlaku, tiada individu atau kumpulan mengaku bertanggungjawab atau membuat tuntutan,” katanya.

Abhisit berkata, kerajaan Thai juga telah merangka program pembangunan yang menyeluruh termasuk dalam bidang ekonomi dan keselamatan untuk penduduk tempatan dalam usaha menyelesaikan konflik di wilayah selatan.

Dengan pelbagai program dirancang, beliau yakin kerajaan berada di landasan yang betul untuk menyelesaikan konflik yang telah lama berlanjutan di sana.

Menganggap isu di wilayah selatan sebagai penting dalam dasar kerajaan, kerajaan Thai menubuhkan jawatankuasa mengenai pembangunan Zon Khas Lima Sempadan Wilayah Selatan, yang dipengerusikan sendiri oleh Abhisit, untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan dalam memenuhi keperluan penduduk tempatan.

Pada Oktober 2009, kerajaan Thai melancarkan pelan pembangunan empat tahun (2009-2012), untuk lima wilayah di selatan dengan peruntukan sebanyak 68.7 bilion baht (RM220 juta) bagi membantu dan meningkatkan sektor pelancongan, perikanan, hasil getah, pengeluaran minyak sawit dan industri makanan halal. – BERNAMA

0 ulasan:

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal