Bismillahirrahmanirrahim

Monday, August 16, 2010

MANILA 16 Ogos - Filipina optimis perjanjian damai dapat dimeterai dengan pemberontak Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dalam tempoh enam tahun.

Manila juga bersedia untuk menawarkan beberapa konsesi utama bagi mencapai matlamat tersebut.

Peguam yang mengetuai panel rundingan kerajaan dengan MILF, Marvic Leonen berkata, gencatan senjata yang terus bertahan sejak beberapa bulan lalu meningkatkan keyakinan menjelang rundingan damai yang dijadual disambung semula selepas Ramadan.

"Kami melangkah ke meja rundingan dengan harapan kami dapat mencapai perdamaian dalam masa enam tahun akan datang atau jauh lebih awal," ujarnya.

Katanya, kerajaan bersedia untuk meminda Perlembagaan bagi mencapai penyelesaian politik menyeluruh dengan MILF.

"Jika perlu dan jika boleh diterima oleh semua pihak, pindaan mungkin dapat dilakukan," kata Leonen kepada wartawan asing, tanpa mengulas lanjut.

MILF melancarkan pemberontakan sejak 1978 untuk mendirikan sebuah negara Islam merdeka di Pulau Mindanao, selatan negara ini dan akibatnya lebih 150,000 orang terkorban dalam pertempuran.

Namun, MILF sudah menghentikan perjuangan untuk menuntut tanah air merdeka bagi penduduk Islam di selatan Filipina dan kini bersedia untuk mempersetujui autonomi dalam bentuk tertinggi, katanya.

"Cabaran bagi pentadbiran sekarang ialah sama ada ia memiliki kreativiti dan kemahuan politik untuk melaksanakan perubahan yang diperlukan.

"Tahap keyakinan adalah tinggi," kata peguam itu apabila ditanya sama ada Presiden Benigno Aquino akan dapat menamatkan pemberontakan MILF sebelum penggal beliau tamat pada 2016. - AFP

0 ulasan:

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal