Bismillahirrahmanirrahim

Tuesday, August 31, 2010

Malaysia tetap jadi orang tengah

MANILA 31 Ogos - Presiden Filipina, Benigno Aquino hari ini berkata, Malaysia akan terus memainkan peranan sebagai orang tengah dalam rundingan damai dengan kumpulan pemberontak.

Kenyataan itu dibuat selepas ketua perunding Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), Mohagher Iqbal mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan akan menggantikan Malaysia dengan Indonesia sebagai orang tengah dalam rundingan damai antara pertubuhan itu dengan kerajaan.

"Kita sedang melalui peringkat terakhir dan jika sebarang pertukaran dibuat, ia dibimbangi akan merencatkan rundingan itu," kata Aquino kepada pemberita di sini hari ini.

Iqbal tidak menyatakan tentang dari mana beliau menerima maklumat berkenaan, namun, katanya, jika kerajaan mahu membuat perubahan, usaha rundingan damai itu dibimbangi akan menemui jalan buntu.

"Kenyataan presiden (yang menyatakan Malaysia akan terus menjadi orang tengah) amat dialu-alukan kerana ia sekali gus menunjukkan komitmen kerajaan untuk menyelesaikan konflik ini.

"Tidak ada alasan untuk kerajaan menggantikan Malaysia sebagai orang tengah memandangkan negara itu mempunyai banyak pengetahuan perbincangan sebelum ini," katanya.

Kerajaan sebelum ini memaklumkan bahawa rundingan damai itu dihentikan dan akan bersambung semula pada 10 September depan di sini.

Kumpulan MILF mula menentang kerajaan sejak 1979 dalam usaha mereka untuk menubuhkan sebuah kerajaan Islam yang bebas di wilayah selatan, Mindanao dan sejak itu lebih 150,000 orang telah terkorban.

MILF menandatangani perjanjian pada 2003 untuk menghentikan peperangan buat sementara waktu bagi membolehkan rundingan damai diadakan.

Bekas presiden, Gloria Arroyo gagal menyelesaikan konflik itu sehingga beliau meletak jawatan pada Jun lepas. - AFP

0 ulasan:

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal