Bismillahirrahmanirrahim

Wednesday, November 17, 2010

Malaysia dituduh berat sebelah pada MILF

MANILA 17 Nov. - Usaha untuk menyambung semula rundingan damai di antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) ditangguhkan lagi kerana tindakan negara ini yang mahu menggantikan Malaysia sebagai orang tengah.

Kuala Lumpur telah menjadi orang tengah dalam rundingan damai itu sejak Mac 2001 bagi mencari jalan terbaik untuk menghentikan konflik yang mengorbankan lebih 120,000 orang, dua juta hilang tempat tinggal selain turut membantutkan ekonomi di kawasan yang kaya dengan sumber semula jadi itu.

Sejak 2003, wakil Malaysia, Othman Razak telah menjadi orang tengah dalam rundingan itu tetapi pegawai kanan Filipina berkata, pihaknya mendapati beliau ialah seorang yang berat sebelah.

"Penangguhan rundingan damai ini dibimbangi akan dijadikan alasan oleh beberapa pihak untuk merosakkannya.

"Kami bersedia untuk menyambung kembali rundingan damai itu, tetapi kerajaan telah menghalang perkembangannya.

"Mereka mahu menggantikan Malaysia sebagai orang tengah kerana sikap sebenar mereka yang berat sebelah terhadap umat Islam dan kami tidak akan membenarkan ia berlaku," kata Ketua Rundingan Damai MILF, Jun Mantawil.

Ketika Benigno Aquino mengangkat sumpah sebagai Presiden baru Filipina Jun lalu, beliau berjanji akan menyelesaikan konflik MILF dengan baik, tetapi sehingga kini masih belum ada sebarang tindakan drastik dibuat oleh kerajaan pimpinannya.

Aquino sebelum ini berkata, beliau telah membincangkan perkara ini dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Seorang pegawai kanan di bawah kepimpinan bekas Presiden, Gloria Macapagal Arroyo sebelum ini juga telah memaklumkan kepada Najib tentang perkara itu ketika beliau memegang jawatan sebagai Menteri Pertahanan.

Beberapa pegawai kanan kerajaan Filipina turut meminta Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Anifah Aman agar menggantikan Othman dengan individu lain ketika beliau berada di sini. - REUTERS

0 ulasan:

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal