Bismillahirrahmanirrahim

Monday, November 8, 2010

MILF desak Filipina tarik balik tuduhan

MANILA 8 Nov. - Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) mendesak kerajaan menarik balik kenyataan yang menuduh pihaknya bertanggungjawab di atas kejadian pengeboman sebuah bas pada bulan lalu, dengan memberi amaran ia mungkin menggagalkan rundingan damai yang akan disambung semula bulan ini.

Jurucakap MILF, Von al Haq berkata, kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Pertahanan Voltaire Gazmin itu bertujuan mencemarkan nama baik MILF menjelang rundingan damai itu.

"Ia adalah satu pengumuman terbuka yang bertujuan menjejaskan kredibiliti MILF dan menggagalkan rundingan damai.

"Kami bersedia duduk semeja dengan kerajaan. Bagaimanapun kenyataan itu perlu ditarik balik terlebih dahulu," katanya melalui telefon kepada AFP dari pulau Mindanao, hari ini.

Al Haq berkata, MILF juga telah memfailkan satu bantahan rasmi berhubung dakwaan tersebut dengan satu jawatankuasa bersama yang sedang mengawasi perjanjian gencatan senjata antara kedua-dua pihak.

"Kami menolak sekeras-kerasnya kenyataan itu kerana tiada seorang pun ahli kami terlibat dalam insiden tersebut," jelasnya.

Gazmin pada minggu lalu berkata, kerajaan tidak menolak kemungkinan MILF terlibat dalam kejadian pengeboman yang mengorbankan sembilan nyawa di wilayah Maguindanao pada bulan lalu.

Bagaimanapun, Setiausaha Pertahanan itu hari ini berkata, adalah menjadi prosedur biasa untuk penyiasat melihat sama ada MILF mempunyai kaitan dengan pihak yang melakukan serangan tersebut.

"Mereka adalah musuh negara. Jika anda musuh negara, anda pasti berada dalam senarai suspek," kata Gazmin kepada pemberita.

Bagaimanapun, katanya, tiada sebarang bukti kukuh menunjukkan kepimpinan MILF secara langsung terlibat dalam serangan itu. - AFP

0 ulasan:

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal