Bismillahirrahmanirrahim

Wednesday, December 29, 2010



Anggota keselamatan Thailand memeriksa mayat seorang lelaki yang dipercayai suspek militan selepas satu serbuan di wilayah Pattani, selatan Thailand, kelmarin. – REUTERS


NARATHIWAT 29 Dis. – Satu letupan kenderaan menggegarkan wilayah selatan Thailand hari ini menyebabkan tujuh orang cedera, sehari selepas kerajaan menarik balik perintah darurat di satu daerah di kawasan bergolak ini.

Menurut pihak berkuasa, bom buatan sendiri yang mempunyai kira-kira 15 kilogram bahan letupan telah dimasukkan ke dalam alat pemadam api dan kemudiannya diletupkan menggunakan telefon bimbit di hadapan pejabat jabatan lebuh raya di Narathiwat.

Tiga pegawai kerajaan dan empat penduduk kampung cedera dalam letupan yang turut merobek bumbung kenderaan itu.

Dalam kejadian berasingan di wilayah Yala, suspek pemberontak meletupkan bom di tepi jalan dan cuba menyerang hendap pegawai peronda keselamatan, tetapi tiada yang cedera.

Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva berkata, pergolakan terbaru itu tidak akan mengubah rancangan kerajaannya untuk menarik balik perintah darurat di sebuah daerah di wilayah itu sebagai ujian kepada wilayah yang dihuni majoriti penduduk Islam ini.

“Kami akan menilai dari satu kawasan ke satu kawasan dan membuat penilaian secara umum,” katanya kepada wartawan di Bangkok.

Abhisit juga melahirkan keyakinannya sambutan tahun baru di Bangkok akan berjalan secara aman. – AFP

Thursday, December 23, 2010

NARATHIWAT: Dua renjer ditembak mati - dipercayai oleh sekumpulan militan Islam - di selatan Thailand ketika kerajaan membayangkan kemungkinan menarik balik perintah darurat di situ, semalam.

Menurut sumber, empat penyerang menyamar sebagai wanita Islam melepaskan tembakan ke arah mangsa yang dalam perjalanan pulang selepas semalaman bertugas di Narathiwat.

Katanya, dua wanita tempatan turut cedera terkena peluru sesat dalam kejadian itu.

“Penyerang turut melarikan senjata renjer terbabit,” katanya.

Keganasan itu berlaku selepas Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva mengumumkan rancangan menamatkan perintah darurat hampir tujuh tahun di tiga wilayah paling bergolak di selatan Thailand.

Kata Abhisit, kerajaan bersedia menamatkan perintah darurat itu tidak lama lagi.

“Malah di daerah Mae Lan (di Pattani), darurat mungkin ditarik balik sebelum tahun baru menjelang untuk melihat kesannya sebelum ia diperluaskan ke daerah lain,” katanya. - AFP

YALA: Kumpulan pemberontak Islam disyaki menembak dan membunuh tiga orang, termasuk sepasang suami isteri di selatan Thailand sementara pihak berkuasa meningkatkan kawalan keselamatan menjelang sambutan tahun baru, kata satu sumber, semalam.

Pasangan suami isteri yang berusia 49 dan 47 tahun itu ditembak ketika menjual daging babi di kedai mereka di pasar minggu di wilayah Pattani, petang semalam.

Polis berkata, lelaki itu bekerja dengan pihak berkuasa tempatan.

Sementara itu, seorang pekerja binaan, 43, di pangkalan tentera Thailand ditembak ketika dalam perjalanan pulang membeli makanan, tengah hari semalam.

Menurut pihak berkuasa Pattani, gabenor tempatan mengarahkan polis dan askar untuk meningkatkan operasi termasuk pemeriksaan 24 jam di pusat imigresen berikutan kebimbangan berlaku serangan sempena cuti tahun baru. - AFP

Saturday, December 18, 2010

Selatan Thailand bergolak lagi

ANGGOTA keselamatan Thailand memeriksa dua mayat lelaki yang ditemui di Yala, semalam.
ANGGOTA keselamatan Thailand memeriksa dua mayat lelaki yang ditemui di Yala, semalam.
Lelaki bersenjata tembak askar, dua mayat tidak dikenali ditemui dikelar

YALA: Lima orang, dua daripadanya askar, terbunuh dalam kejadian keganasan terbaru di kawasan pemberontakan di selatan Thailand, kata polis semalam.

Sekumpulan lelaki bersenjata tidak dikenali dalam sebuah trak pikap menembak mati dua askar kerajaan ketika mengawal keselamatan sami Buddha yang mengumpul derma di Yala, salah sebuah wilayah majoriti penduduk Muslim di selatan yang masih dalam perintah darurat.

Tidak lama kemudian di sebuah pekan berdekatan, polis menemui dua mayat tidak dikenali yang dikelar sampai mati.

Salah seorang dijumpai memakai kemeja-T yang menunjukkan dia mungkin askar kerajaan dari kem tentera berdekatan.

Seorang lagi memakai pakaian seragam sebuah sekolah agama. Polis berkata, mereka sedang menyiasat kaitan antara kedua-dua kejadian.

Kematian itu berlaku sehari selepas seorang militan berusia 29 tahun dilaporkan terbunuh dalam tembakan dengan pasukan keselamatan di wilayah Pattani.
Seorang anggota polis cedera dalam kejadian itu, sementara seorang budak 13 tahun cedera terkena peluru sesat, kata pihak berkuasa.

Militan melancarkan kempen pemberontakan di selatan Thailand sejak tujuh tahun lalu, menyasarkan penduduk Muslim dan penganut Buddha, orang awam dan anggota keselamatan.

Lebih 4,400 orang terkorban sejak Januari 2004, manakala lebih 7,000 cedera, menurut pertubuhan bukan kerajaan, Deep South Watch, yang memantau konflik itu.

Sementara itu, ketua polis Thailand, Jeneral Wichean Potephosree, berkata kawasan selatan dijangka akan dilanda serangan pemberontak sebelum dan menjelang sambutan tahun baru 2011, berdasarkan maklumat perisikan.

Sebahagian besar kawasan wilayah Yala dan Narathiwat juga menghadapi risiko selain daerah Hatyai di Songkhla, katanya yang dilaporkan akhbar The Nation.

Meskipun Pattani tidak termasuk senarai amaran itu, penduduk dinasihatkan berhati-hati, katanya lagi. Beliau berkata, polis tidak memandang rendah amaran itu dan sedang merancang langkah kawalan.

Wichean berkata demikian selepas melawat sebuah unit polis yang pakar dalam mematikan bom di Yala dan turut memberi jaminan kepada tokoh agama tempatan bahawa penggunaan bukti saintifik akan memulihkan keamanan di rantau itu. – AFP/Agensi

Saturday, December 4, 2010

YALA: Kumpulan disyaki pemisah menembak mati lima penduduk di selatan Thailand, termasuk seorang penduduk Muslim yang dibunuh kumpulan samseng berpakaian seragam tentera semalam.

Pegawai polis berkata, timbalan ketua kampung 36 tahun ditembak mati apabila tiga lelaki bersenjata berpakaian ala tentera memecah masuk ke rumahnya di Narathiwat kelmarin.

Di wilayah sama, seorang lelaki Buddha 43 tahun yang bekerja dengan jabatan pengairan tempatan juga ditembak mati di rumahnya.

Awal semalam, pekerja kerajaan berusia 55 tahun meninggal dunia dalam perjalanan pulang selepas menunaikan solat Zuhur, dalam kejadian tembakan dari kenderaan di wilayah Pattani. Satu lagi kejadian di Pattani membunuh sukarelawan keselamatan 32 tahun, yang sedang menunggang motosikal.

Di wilayah Yala, lelaki Muslim berusia 41 tahun ditembak mati ketika pulang dari ladang getah petang kelmarin. – AFP

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal