Bismillahirrahmanirrahim

Tuesday, August 31, 2010

MANILA: Presiden Filipina, Benigno Aquino berkata, Malaysia akan dikekalkan sebagai orang tengah dalam rundingan damai dengan kumpulan pemisah Islam, semalam.

“Kami sepatutnya di peringkat akhir untuk mengadakan rundingan. Penukaran orang tengah akan menjejaskan persetujuan antara kedua-dua belah pihak,” kata Benigno. Kenyataan itu dikeluarkan selepas ketua perunding Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), Mohagher Iqbal berkata, dia mendapat maklumat kononnya kerajaan Filipina akan menggantikan Malaysia dengan Indonesia sebagai orang tengah rundingan itu. Mohagher tidak memberitahu sumber yang menyampaikan maklumat itu kepadanya. Menurutnya, sekiranya perkara itu terjadi, rundingan yang dijangka berlangsung bulan depan akan menemui kegagalan. “Kenyataan Benigno itu mengukuhkan keyakinan kami yang pihak kerajaan benar-benar ingin berurusan dengan kami,” kata Mohagher.


“Tiada sebab untuk menggantikan Malaysia sebagai orang tengah. Pembabitan Malaysia sudah lama khususnya dalam rundingan terdahulu,” kata Mohagher lagi.


Kerajaan Filipina menjangkakan rundingan akan berlangsung selepas Ramadan.


MILF sudah berjuang untuk menubuhkan negara Islam yang merdeka di selatan Mindanao sejak 1978 dan lebih 150,000 orang sudah terkorban. Sebelum ini, MILF pernah menandatangani perjanjian gencatan senjata dengan Manila pada 2003 bagi mengadakan rundingan damai untuk mendapatkan hak autonomi bagi orang Islam. Bagaimanapun, Presiden Gloria Arroyo gagal meneruskan rundingan dengan MILF hinggalah beliau berundur daripada jawatannya pada Jun lalu.


Rundingan MILF dengan kerajaan pimpinan Gloria gagal pada 2008 selepas Mahkamah Agung mendakwa cadangan untuk memberikan hak autonomi kepada MILF di selatan Mindanao melanggar Perlembagaan negara. - AFP

This summary is not available. Please click here to view the post.

Monday, August 30, 2010

YALA: Tiga orang lagi mati dan lima cedera dalam keganasan di selatan Thai sepanjang 24 jam lalu.

Sebutir bom yang tersembunyi di bawah sebuah trak kecil milik seorang sukarelawan keselamatan meletup di Narathiwat, menyebabkan tiga cedera.


Ia berlaku tidak lama selepas seorang kanak-kanak berusia dua tahun ditembak mati ketika membonceng motosikal bersama bapanya.


Di Pattani, sepasang suami isteri beragama Buddha ditembak mati ketika mereka dalam perjalanan ke sebuah pasar.


Di Yala, sebutir bom menyebabkan seorang penjual buah yang hamil cedera. - AP

Saturday, August 28, 2010

YALA 28 Ogos - Lelaki bersenjata disyaki pemberontak, menembak mati dua wanita dan tiga lelaki di wilayah bergolak selatan Thailand semalam dan hari ini, lapor polis tempatan.

Seorang lelaki berumur 60 tahun dan isterinya, 52, ditembak mati petang semalam ketika dalam perjalanan pulang dari sebuah pasar di wilayah Pattani.

Polis berkata kedua-duanya mati di tempat kejadian.

Ia disusuli kejadian kedua beberapa jam kemudian di wilayah sama, apabila seorang pemuda berusia 21 tahun ditembak ketika menunggang motosikal, semasa dalam perjalanan untuk bertugas sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah.

Turut cedera ialah seorang ketua kampung yang memboncengnya.

Di wilayah Yala, lelaki bersenjata membunuh seorang wanita berumur 26 tahun malam tadi, semasa dia dalam perjalanan pulang ke rumah dari sebuah pasar.

Polis berkata, seorang leftenan muda, 40, meninggal dunia di hospital awal pagi ini selepas dia ditembak di kepala semasa sedang bertemu penduduk tempatan di wilayah Narathiwat tengah hari semalam.

Pertumpahan darah itu berlaku selepas pihak berkuasa memberi amaran tentang potensi serangan berskala besar semasa bulan Ramadan yang bermula 12 Ogos lalu di Thailand.

Keganasan dilapor meningkat semasa Ramadan beberapa tahun lalu.

Thailand bulan lalu melanjutkan perintah darurat di tiga wilayah bergolak selatan negara ini yang dihuni majoriti penduduk Islam sehingga Oktober ini, ketika ia berusaha menamatkan keganasan yang telah mengorbankan lebih 4,100 nyawa dalam tempoh enam tahun. - AFP

Tuesday, August 24, 2010

2 maut, 4 cedera tiga serangan

PATTANI: Dua orang terbunuh dan empat cedera dalam tiga serangan berasingan, dipercayai dilakukan pemberontak di wilayah ini dari lewat malam kelmarin sehingga pagi semalam, lapor polis.

Matohe Tayongmat, 50, penolong ketua kampung dari Kumpulan Perkampungan 6 di Khao Tum terbunuh serta merta. Dua penduduk kampung Abdullah Luebaesa dan Hasen Jehma, cedera ketika berbalas tembakan.

Serangan kedua berlaku di Moh Lawi di daerah Yarang kira-kira jam 3 pagi semalam apabila trak pikap dipandu bekas presiden Organisasi Pentadbiran Tambon Muang Tia (TAO), Suding Abu, 46, terbunuh selepas diserang lelaki bersenjata di jalan Yala-Pattani.

Ketua kampung, Abdulwasi Wamae, 47, yang turut berada dalam kenderaan itu cedera.

Satu lagi kejadian tembakan berlaku kira-kira jam 6.35 pagi di daerah Khok Pho.

Pian Wannapruet, 55, menunggang motosikal bersama isterinya diekori dua lelaki yang melepaskan tembakan ke arah mereka.

Pian cedera, namun isterinya terselamat. Agensi

Monday, August 16, 2010

MANILA: Kerajaan Filipina berkata semalam, ia yakin dapat menandatangani perjanjian damai dengan pemisah Islam Moro dalam tempoh enam tahun.
Marvic Leonen, seorang peguam yang mengetuai panel rundingan kerajaan dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), berkata gencatan senjata berjaya dipertahankan sejak beberapa bulan lalu memberi keyakinan baru sebelum rundingan dijangka diteruskan bulan depan.

“Apa yang kami bawa ke meja rundingan adalah satu harapan bahawa kita dapat capai penyelesaian dalam tempoh enam tahun atau lebih awal,” kata Leonen. Leonen berkata kerajaan bersedia meminda perlembagaan agar dapat memenuhi penyelesaian politik menyeluruh dengan MILF yang mempunyai 12,000 anggota.

“Jika perlu dan jika dipersetujui semua pihak, pindaan tidak mustahil,” katanya kepada wartawan asing tanpa mengulas lanjut.

MILF melancarkan pemberontakan sejak 1978 bagi penubuhan satu negara Islam bebas di pulau selatan Mindanao, rantau kaya bahan galian, tetapi miskin disebabkan pertempuran tiga dekad lamanya yang mengorbankan lebih 150,000 orang.

Bagaimanapun, MILF sudah melupakan hasrat menubuhkan negara Islam bebas, tetapi bersiap sedia bentuk autonomi, kata Leonen.
“Cabaran pentadbiran baru sama ada ia memiliki kreativiti dan keinginan politik sejajar dengan perubahan diperlukan,” katanya.

“Paras keyakinan amat tinggi,” katanya apabila ditanya sama ada Presiden Benigno Aquino berupaya menamatkan pemberontakan MILF sebelum penggalnya berakhir pada 2016.

Benigno, yang memenangi pilihan raya presiden Mei lalu, menggunakan populariti besarnya bagi mendapatkan sokongan majoriti penduduk Kristian negara itu supaya mana-mana perjanjian dapat direalisasikan, kata Leonen.

“Benigno akan menggunakan kuasa politiknya untuk menjayakan rundingan,” katanya.

Rundingan damai itu tertunda pada 2008 apabila Mahkamah Tinggi memutuskan cadangan perjanjian yang memberi MILF kawalan ke atas kawasan besar di selatan tidak mematuhi perlembagaan, sekali gus menyebabkan MILF mengangkat senjata. – AFP

MANILA 16 Ogos - Filipina optimis perjanjian damai dapat dimeterai dengan pemberontak Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dalam tempoh enam tahun.

Manila juga bersedia untuk menawarkan beberapa konsesi utama bagi mencapai matlamat tersebut.

Peguam yang mengetuai panel rundingan kerajaan dengan MILF, Marvic Leonen berkata, gencatan senjata yang terus bertahan sejak beberapa bulan lalu meningkatkan keyakinan menjelang rundingan damai yang dijadual disambung semula selepas Ramadan.

"Kami melangkah ke meja rundingan dengan harapan kami dapat mencapai perdamaian dalam masa enam tahun akan datang atau jauh lebih awal," ujarnya.

Katanya, kerajaan bersedia untuk meminda Perlembagaan bagi mencapai penyelesaian politik menyeluruh dengan MILF.

"Jika perlu dan jika boleh diterima oleh semua pihak, pindaan mungkin dapat dilakukan," kata Leonen kepada wartawan asing, tanpa mengulas lanjut.

MILF melancarkan pemberontakan sejak 1978 untuk mendirikan sebuah negara Islam merdeka di Pulau Mindanao, selatan negara ini dan akibatnya lebih 150,000 orang terkorban dalam pertempuran.

Namun, MILF sudah menghentikan perjuangan untuk menuntut tanah air merdeka bagi penduduk Islam di selatan Filipina dan kini bersedia untuk mempersetujui autonomi dalam bentuk tertinggi, katanya.

"Cabaran bagi pentadbiran sekarang ialah sama ada ia memiliki kreativiti dan kemahuan politik untuk melaksanakan perubahan yang diperlukan.

"Tahap keyakinan adalah tinggi," kata peguam itu apabila ditanya sama ada Presiden Benigno Aquino akan dapat menamatkan pemberontakan MILF sebelum penggal beliau tamat pada 2016. - AFP

Saturday, August 14, 2010

Tiga korban pertama Ramadan

YALA 14 Ogos - Lelaki bersenjata disyaki pemberontak, menembak mati tiga orang termasuk seorang pegawai polis di selatan Thailand hari ini, dalam serangan maut pertama bulan Ramadan.

Pegawai polis itu ditembak mati awal pagi ini ketika menunggang motosikal di Yaring, Pattani.

Dalam satu serangan berasingan, dua lelaki berusia 42 dan 41 tahun, maut ditembak ketika dalam perjalanan ke sebuah ladang getah di Yala.

Pertumpahan darah berlaku ketika pihak berkuasa memberi amaran tentang serangan skala besar sepanjang bulan Ramadan yang bermula Rabu lalu.

Gabenor Yala, Krissada Boonrach meminta semua agensi keselamatan wilayah bersedia menghadapi keganasan yang mungkin berlaku.

Thailand bulan lalu melanjutkan perintah darurat di tiga wilayah bergolak di selatan negara sehingga Oktober ini ketika ia berusaha menghentikan kekacauan yang mengakibatkan lebih 4,100 kematian dalam tempoh enam tahun. - AFP

Wednesday, August 11, 2010

MANILA: Beratus-ratus gerila Islam menjalani latihan bertempur dan cuba mendapatkan lebih banyak senjata di selatan Filipina untuk meningkatkan kelengkapan tentera bagi berhadapan dengan kemungkinan kegagalan rundingan damai dengan kerajaan.

Presiden baru, Benigno Aquino III dan Barisan Pembebasan Islam Moro menyatakan kesediaan untuk menyambung rundingan baru di mana Malaysia menjadi orang tengah seawal September selepas Ramadan.

Rundingan berkenaan gagal pada 2008, mencetuskan pertempuran dan disambung pada bulan terakhir pemerintahan Gloria Macapagal Arroyo tanpa mencapai sebarang keputusan besar.

Benigno yang menggantikan Arroyo pada 30 Jun lalu mula membentuk pasukan rundingan baru untuk meneruskan perbincangan dengan pemisah Moro dan gerila komunis.

Tentera memantau sekurang-kurangnya sembilan latihan bertempur berasingan dengan beratus-ratus pejuang Islam dan rekrut di kubu kuat mereka di selatan Mindanao dalam tempoh setengah tahun, kata satu laporan tentera.

Gerila Islam menjalani latihan bertempur dan melengkapkan logistik untuk bersiap sedia dengan kemungkinan rundingan damai itu gagal sekali lagi, kata laporan yang menambah wujud rancangan pemisah untuk meningkatkan insiden penculikan dan peras ugut bagi mendapatkan dana.

Kira-kira 230 pemisah menjalani latihan mengenai taktik serangan selama tiga hari Mac lalu di sebuah kem yang dipanggil Palestin berhampiran bandar Butig di Lanao del Sur.
Beberapa gerila menyertai latihan sebulan itu mengenai pengumpulan risikan di kem sama, manakala 247 pejuang menjalani latihan perang hutan selama 15 hari di wilayah paling selatan, Tawi Tawi.

Kira-kira 100 rekrut diberikan latihan asas tentera selama tiga bulan di Lanao del Sur bermula Mac. Latihan lain termasuk sebilangan pemisah memfokuskan kepada bantuan perubatan dan kepimpinan. AP

Tuesday, August 10, 2010

KEM DARAPANAN: Pergerakan Pembebasan Islam Moro (MILF) bimbang rundingan damai dengan kerajaan Filipina akan lebur kerana Manila berniat menyingkirkan Malaysia sebagai pengantara, memindahkan lokasi dialog ke Jakarta selain mengkaji semula persetujuan awal.

MILF bersetuju menyambung rundingan dengan pentadbiran Presiden Benigno Aquino, tetapi gusar niat kerajaan baru akan menyebabkan kedua-dua pihak saling tidak mempercayai dan menghancurkan rundingan sebelum ia bermula, kata pemimpinnya, Ebrahim Murad.

Kerajaan semakin banyak memberitahu secara tidak langsung bahawa mereka mahu rundingan baru diadakan dan menggantikan penyelaras rundingan, kata Murad kepada wartawan asing di sini, kelmarin.

Jika benar, cadangan seperti ini akan menangguhkan termasuk menggugat rundingan damai, katanya sambil menambah Manila belum menggerakkan langkah menyambung rundingan.

Katanya, hampir 90 perjanjian ditandatangani sejak 1997 termasuk gencatan senjata, pemulihan kawasan konflik dan membenarkan pemerhati daripada kerajaan asing dan kumpulan lain dalam rundingan.

Pendirian kami jelas. Kami tidak setuju menyambung rundingan jika semuanya dirunding semula, kami mahu rundingan disambung berdasarkan apa yang dicapai, kata Murad.

Beliau juga menegaskan, MILF mahu Malaysia kekal sebagai pengantara rundingan selepas khabar angin tersebar bahawa Manila mahu rundingan diadakan di Jakarta. Reuters

MURAD pada sidang media di Sultan Kudarat, semalam.
MURAD pada sidang media di Sultan Kudarat, semalam.
Pemimpin Moro jangka sambung rundingan selepas Ramadan

SULTAN KUDARAT: Pemimpin pemisah Islam sejak sekian lama di Filipina semalam berharap untuk menandatangani perjanjian damai di bawah tempoh pemerintahan enam tahun Presiden baru, Benigno Aquino.

Pemimpin Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), Murad Ebrahim berkata perunding pemisah bersiap sedia untuk menyambung rundingan damai dengan kerajaan selepas bulan Ramadan iaitu September seperti yang diumumkan Benigno sebelum ini.

“Kita boleh lihat mereka (kerajaan Benigno Aquino) benar-benar membincangkan masalah Bangsa Moro (penduduk Islam tempatan),” kata Murad kepada pemberita di luar kem pemisah di bandar Selatan Cotabato.

“Beliau ada enam tahun untuk menyelesaikan masalah. Jika beliau benar-benar jujur, kita tidak akan silap dalam menyelesaikan masalah ketika pemerintahan beliau.

“Kita benar-benar mahu menamatkan pemberontakan ini kerana pejuang generasi akan datang akan lebih radikal.”

MILF dengan kekuatan 12,000 ahli memperjuangkan negeri Islam berasingan di negara yang majoriti penduduknya adalah penganut Kristian Katolik.
Pemisah membunuh lebih 150,000 penduduk sejak tiga dekad lalu yang turut menjejaskan wilayah selatan yang kaya dengan sumber galian.

Pemimpin terdahulu, Gloria Arroyo gagal untuk menandatangani satu perjanjian damai bersama MILF sepanjang sembilan tahun pemerintahan beliau. Beliau meletak jawatan 30 Jun lalu seperti yang dimandatkan perlembagaan.

Pertempuran berskala besar tercetus pada 2008 apabila komander MILF melancarkan serangan berikutan keputusan Mahkamah Agung mengeluarkan perintah supaya membatalkan rancangan perjanjian memberikan kuasa pemerintahan berasingan kepada masyarakat Moro. – AFP

SULTAN KUDARAT 9 Ogos - Pemimpin Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), Murad Ebrahim menaruh harapan tinggi perjanjian damai dapat dimeterai dengan kerajaan Filipina semasa penggal perkhidmatan Presiden baru, Benigno Aquino.

Murad hari ini berkata, perunding MILF sudah bersedia untuk menyambung semula rundingan damai dengan Manila selepas berakhir bulan Ramadan pada bulan depan, seperti yang diumumkan sebelum ini oleh Aquino.

"Kami dapat merasakan mereka (kerajaan Aquino) benar-benar mahu menyelesaikan masalah Bangsa Moro (penduduk Islam tempatan).

"Beliau ada enam tahun untuk menyelesaikan masalah ini. Jika beliau betul-betul ikhlas, kita tidak mungkin tersilap dalam menyelesaikan masalah ini semasa penggal pentadbiran beliau," kata Murad kepada wartawan di sebuah kem pemberontak di luar bandar Cotabato, selatan Filipina.

MILF yang mempunyai 12,000 anggota melancarkan pemberontakan untuk menegakkan sebuah negara Islam di pulau Mindanao.

"Kami mahu menamatkan pemberontakan ini semasa hayat kami kerana generasi pejuang akan datang adalah lebih radikal," kata Murad.

Pemberontakan itu sudah meragut lebih 150,000 nyawa dalam tempoh tiga dekad lalu, di samping membantutkan pertumbuhan di wilayah selatan Filipina itu, yang kaya dengan sumber galian.

Gloria Macapagal Arroyo sebelum ini gagal memeterai perjanjian damai dengan MILF sepanjang sembilan tahun beliau menjadi presiden.

Dalam ucapan kepada Kongres pada bulan lepas, Aquino berkata, rundingan dengan MILF akan disambung semula selepas Ramadan ini.

"Kita akan mencapai perdamaian berkekalan hanya sekiranya semua pihak berkepentingan menyertai dialog dengan tulus ikhlas," katanya. - AFP

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal