Bismillahirrahmanirrahim

Wednesday, January 12, 2011

Manila, MILF terus rundingan

MANILA 12 Jan. - Kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) akan mengadakan rundingan tidak rasmi esok di Kuala Lumpur dalam usaha menamatkan konflik di selatan negara ini selama lebih 40 tahun.

Rundingan tersebut disahkan sumber daripada kedua-dua belah pihak.

Ia merupakan rundingan damai pertama sejak Presiden Benigno Aquino membentuk satu panel baru pada Julai lalu untuk menyambung semula rundingan dengan MILF.

"Kami berharap dapat menyambung semula rundingan rasmi awal bulan depan selepas bersetuju dengan peraturan-peraturan baru termasuk pelantikan seorang fasilitator baru daripada kerajaan Malaysia.

"Pertemuan ini merupakan satu kejayaan besar dalam proses damai," kata sumber yang terlibat dalam rundingan berkenaan kepada Reuters.

Sumber itu berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan media selepas pertemuan esok bagi memberitahu rakyat Filipina tentang perkembangan terbaru rundingan tersebut.

Malaysia menjadi pengantara rundingan itu sejak 2001 bagi mengakhiri konflik yang telah mengorbankan 120,000 nyawa, menyebabkan dua juta hilang tempat tinggal dan membantutkan pembangunan di selatan Filipina yang dipercayai kaya dengan sumber mineral, minyak dan gas asli.

Cubaan memulakan semula rundingan damai antara Manila dan MILF terhenti berikutan langkah kerajaan menukar fasilitator Malaysia yang dilihat lebih memihak kepada pihak pemberontak.

Kali terakhir rundingan dijalankan adalah pada Jun tahun lalu, di mana kerajaan gagal memenuhi tuntutan MILF yang mahu memerintah sebuah negeri sendiri di bahagian selatan Filipina. - Reuters

0 ulasan:

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal