Bismillahirrahmanirrahim

Friday, January 21, 2011

Tentera Thai diarah perkemas kawalan



ANGGOTA tentera Thai memeriksa kawasan ledakan bom yang mencederakan dua anggota polis di wilayah Yala, kelmarin. – REUTERS


BANGKOK 21 Jan. – Perdana Menteri, Thailand Abhisit Vejjajiva semalam meminta pasukan tentera negara itu memperkemaskan aspek kawalan keselamatan di semua kem mereka di wilayah selatan berikutan serangan ke atas sebuah kem di Narathiwat semalam

“Beberapa perubahan harus dilakukan. Pasukan tentera harus melihat mengapa begitu banyak senjata api boleh dicuri dari kem itu,” katanya.

Empat anggota tentera terkorban dan enam cedera apabila sekumpulan militan bersenjata menyerang dan mencuri sejumlah senjata api di Kem Pasukan Petugas Tentera di Rangae, dalam satu kejadian kira-kira pukul 8 malam semalam.

Ditanya sama ada serangan terbaru itu akan menjejaskan keputusan kerajaan untuk menarik balik perintah darurat di wilayah selatan pada masa depan, Abhisit berkata ia tidak akan menjejaskan keputusan keseluruhan kerana perintah itu bergantung kepada situasi keselamatan di kawasan terbabit.

Akhir bulan lepas kerajaan Thai menarik balik perintah darurat di daerah Mae Lan di Pattani apabila keadaan kembali aman, iaitu yang pertama sejak perintah itu dilaksanakan di kawasan terbabit tujuh tahun lepas.

Pada Selasa lepas kerajaan melanjutkan tempoh perintah darurat selama tiga bulan lagi bagi wilayah Pattani (kecuali daerah Mae Lan), Yala dan Narathiwat.

Kira-kira 4,000 telah terkorban sejak kumpulan pemisah meneruskan semula usaha mereka untuk mendapatkan pemerintahan sendiri di tiga wilayah terbabit tujuh tahun lepas. – BERNAMA

0 ulasan:

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal