Bismillahirrahmanirrahim

Monday, February 7, 2011

Kumpulan pemisah berdepan pemberontakan

COTABATO: Ketua perunding kerajaan Filipina semalam menyatakan kebimbangan serius selepas seorang komander meletak jawatan dari kumpulan pemisah utama menjelang rundingan damai dengan kerajaan.

Tindakan Ameril Umbrakato keluar dari Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) boleh menjejaskan rundingan di antara kerajaan dan kumpulan pemisah itu, kata Marivic Leonen.
“Kerajaan memandang serius laporan mengenai peletakan jawatan komander MILF itu dan mahukan penjelasan dari panel (keamanan) MILF,” kata Leonen dalam satu kenyataan.

Leonen, yang akan bertemu rakan sejawatnya dari MILF Rabu ini untuk memulakan perbincangan yang tertangguh berkata kerajaan mahukan penyelesaian dengan kumpulan yang mempunyai kekuatan seramai 12,000 ahli itu secepat mungkin.

Bagaimanapun semalam, seorang pegawai tertinggi MILF mengesahkan kumpulan terbabit berpotensi berdepan dengan pemberontakan selepas Umbrakato meletak jawatan tujuh bulan lalu dengan membawa bersama sekurang-kurangnya 1,000 pejuang.

Umbrakato adalah seorang daripada komander MILF yang melanggar gencatan senjata kumpulan itu dengan kerajaan pada 2008 dan melancarkan serangan maut terhadap masyarakat Kristian di selatan, menyebabkan hampir 400 orang maut manakala 70,000 yang lain hilang tempat tinggal.
Serangan menyebabkan proses damai tertangguh. Ia hanya dimulakan semula selepas pilihan raya Mei tahun lalu yang menyaksikan presiden baru, Beningo Aquino dipilih.

Lebih 150,000 orang mati sejak awal 1970-an berikutan pemberontakan di selatan negara itu, kata kerajaan.

Baru-baru ini, rakaman video yang diedarkan Umbrakato memaparkan beliau berkata akan membentuk satu kumpulan bersenjata baru untuk meneruskan perjuangan bagi sebuah negeri Islam bebas di selatan Filipina.

Perpecahan dibawa Umbrakato adalah contoh terbaru komander MILF yang mengabaikan arahan daripada pemimpin pemisah.

Dalam beberapa minggu lalu, seorang komander MILF lain mengetuai ahlinya dalam satu pertempuran berdarah dengan kumpulan bersenjata lain berkaitan pertikaian tanah di selatan, menyebabkan 13 orang maut. – AFP

0 ulasan:

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal