Bismillahirrahmanirrahim

Wednesday, April 27, 2011

MILF-Filipina berunding

MANILA 26 April - Kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) akan menyambung semula rundingan damai rasmi selama dua hari bermula esok di Kuala Lumpur.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Pejabat Penasihat Presiden yang mengendalikan rundingan itu, satu daripada topik utama yang akan dibincangkan ialah isu komander MILF, Amiril Umra Kato yang dituduh keluar daripada kumpulan itu dan membentuk kumpulan baru.

Menurut ketua perunding Filipina, Marvic Leonan, isu Amiril itu dipandang serius oleh kerajaan.

Tambahnya, MILF menganggap isu itu sebagai masalah dalaman dan mereka sedang berusaha untuk menyelesaikannya.

Awal bulan ini, seorang pemimpin kanan MILF yang enggan dikenali berkata, kumpulan itu telah menyingkirkan Ameril kerana menubuhkan kumpulan bersenjata baru dan melanggar polisi MILF.

''Jawatankuasa Pusat MILF mencapai keputusan untuk membuang Ameril selepas dia enggan membubarkan kumpulannya itu dan kekal di bawah pentadbiran MILF.

''Jawatankuasa Pusat juga sedang memaklumkan panel rundingan damai kerajaan tentang keputusan MILF itu,'' kata pemimpin kanan itu.

Kerajaan Filipina dan MILF bertemu pada Februari lalu untuk menyambung semula rundingan damai buat pertama kali sejak Presiden Benigno Aquino menjawat jawatan itu pada pertengahan 2010, sejurus selepas kewujudan kumpulan baru itu dilaporkan.

Kedua-dua pihak dalam rundingan damai itu berkata, kumpulan bersenjata diketuai Ameril mengancam keselamatan dan kestabilan di Mindanao serta proses rundingan damai berkenaan.

Sementara itu, dalam rundingan esok, panel kerajaan turut akan membincangkan beberapa isu dalam draf Perjanjian Komprehensif MILF yang mengandungi pendirian kumpulan itu dalam isu sensitif.

Leonen berkata, kerajaan juga telah menasihati beberapa sektor, termasuk pejabat tempatan di wilayah selatan Filipina, Maguindanao dan Sultan Kudarat untuk berusaha lebih tulus dan bertanggungjawab dengan cadangan yang diberikan dalam rundingan. - BERNAMA

0 ulasan:

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal