Bismillahirrahmanirrahim

Tuesday, June 28, 2011

MILF-Filipina mulakan rundingan

KUALA LUMPUR 27 Jun - Rundingan antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) bermula di sini hari ini dalam usaha untuk merangka perjanjian damai bagi menamatkan pemberontakan berpuluh-puluh tahun di selatan Filipina.

Seorang pegawai Malaysia mengesahkan rundingan dua hari itu sudah bermula di sebuah hotel di sini, tetapi dia tidak dapat memberikan butir lanjut.

MILF melancarkan perjuangan bersenjata untuk mendirikan sebuah negara Islam merdeka di wilayah Mindanao pada 1978 dan sejak itu lebih 150,000 orang terbunuh.

Gencatan senjata ditandatangani pada 2003 untuk membuka laluan bagi mengadakan rundingan damai tetapi proses damai tergendala.

Rundingan bagi menamatkan pemberontakan selama 33 tahun di selatan negara itu dihidupkan semula pada Februari lalu, dengan Malaysia bertindak sebagai pengantara.

MILF mengemukakan draf perjanjian dalam sesi pada April lalu dan kerajaan Filipina kini dijangka mengemukakan cadangan balas.

Perunding kerajaan enggan mendedahkan kandungan dokumen cadangan balas itu tetapi seorang anggota kanan panel perunding Manila berkata, usul kerajaan boleh membawa kedua-dua pihak lebih hampir kepada penyelesaian konflik.

"Kami berhasrat untuk merapatkan jurang antara apa yang berlaku di meja rundingan dengan pelaksanaan sebenar, dan kami akan mengemukakan cadangan balas kepada mereka," kata pegawai itu.

Katanya, panel perunding juga akan menyatakan penghargaan kepada MILF kerana membantu polis menyelamatkan seorang ahli perniagaan wanita Filipina yang diculik oleh sekumpulan penculik pada bulan lepas.

"Bantuan itu memberikan sedikit keyakinan, tetapi banyak lagi yang perlu dilakukan," kata pegawai tersebut. - AFP

0 ulasan:

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal