Bismillahirrahmanirrahim

Tuesday, October 25, 2011

Selatan Thai terus bermandi darah



PASUKAN bomba Thai berusaha memadam kebakaran pasar raya yang terbakar setelah diletupkan oleh militan di Narathiwat, kelmarin. - AFP


NARATHIWAT 24 Okt. - Penyerang yang disyaki puak pemisah Islam membunuh sekurang-kurangnya tujuh orang dan mencederakan 10 lagi dalam insiden tembakan dan letupan bom di selatan Thailand.

Dua askar renjer terbunuh malam tadi apabila sekumpulan lelaki bersenjata yang berpakaian seperti wanita dan menaiki tiga trak pikap melepaskan tembakan ke arah satu sekatan jalan raya.

Sejurus kemudian sebutir bom meletup di sebuah pasar raya berdekatan, disusuli dengan letupan bom kedua di sebuah pasar raya lain yang terletak kira-kira 300 meter jauhnya, mencetuskan kebakaran yang merebak ke rumah-rumah kedai dan mengambil masa tiga jam untuk dipadamkan.

Polis berkata, mayat seorang lelaki pemilik pasar raya pertama dan seorang guru wanita ditemui rentung di dalam premis itu manakala seorang budak lelaki dan ibu bapanya ditemui maut di pasar raya kedua.

Sepuluh orang lain cedera akibat kebakaran dalam serangan-serangan tersebut yang berlaku selang setengah jam.

Wilayah-wilayah di selatan Thailand bergolak sejak lebih lapan tahun lalu, menyebabkan lebih 4,800 orang terbunuh, termasuk penduduk Islam dan penganut agama Buddha.

Pada akhir bulan lepas, empat askar terbunuh dan seorang kanak-kanak cedera parah apabila lebih 12 penyerang yang disyaki puak pemisah menyerang sebuah sekolah di Narathiwat.

Guru yang bertugas di sekolah kerajaan kerap menjadi sasaran kerana mereka dilihat sebagai simbol kekuasaan kerajaan dan simbol sistem pendidikan yang didakwa sebagai usaha Bangkok untuk memaksa penduduk Islam menerima budaya Buddha. - AFP

0 ulasan:

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal