Bismillahirrahmanirrahim

Tuesday, December 13, 2011

MNLF, MILF cari kesepakatan

KUALA LUMPUR: Usaha pada peringkat politik supaya penduduk Islam di Selatan Filipina bersatu dipercayai dapat menghapuskan keganasan dan penculikan warga asing di rantau berkenaan dan ia mampu dicapai dengan bantuan kerajaan menerusi program pembangunan di situ.

Ini dilihat menerusi penyertaan Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang giat berunding dengan Manila selain mengambil kira semula pengaruh salasilah Kesultanan Sulu ke arah membentuk kerajaan autonomi serantau yang benar-benar kukuh.

Waris Kesultanan Sulu, Sultan Jamalul D Kiram III, memaklumkan kata sepakat hampir dicapai antara tiga pihak itu yang diyakini memperkukuh perpaduan penduduk Islam di Selatan Filipina sekali gus menamatkan keganasan dan penculikan yang sering dikaitkan dengan rantau itu.
“Andai semua pihak dapat bekerjasama dan saling bertolak ansur, kita yakin masyarakat Islam dapat bersatu hati bagi menangkis anasir yang sering memporak perandakan kawasan selatan.

“Selama ini, penduduk berpecah belah dan berpuak-puak mengizinkan anasir luar mengambil kesempatan dengan melakukan keganasan serta penculikan sehingga menjejas dan memburukkan imej masyarakat Islam di rantau ini,” katanya kepada wartawan Berita Harian di Manila, baru-baru ini.

Pergolakan di selatan Filipina sejak 1970-an menyebabkan pembangunan di kawasan berkenaan tidak dapat dilaksanakan berikutan kegiatan pemisah dan pelampau yang melakukan keganasan serta aktiviti melanun.

Jamalul berkata, perpaduan menjadi kunci untuk merungkai perkara lebih besar seperti usaha membangunkan Selatan Filipina yang kaya dengan hasil semula jadi menerusi kerjasama dengan beberapa negara jiran termasuk Malaysia.
“Masih banyak perkara yang perlu diselesaikan termasuk aspek persempadanan dengan Malaysia dan andai ia dapat diatasi dengan cara baik, pasti menguntungkan semua pihak selain meredakan ketegangan di kawasan sempadan yang turut sama menjejaskan keselamatan di Sabah, seperti kemasukan pendatang tanpa izin,” katanya.

Selain itu, katanya, anggota keluarga salasilah kesultanan Sulu, turut sedia membantu Malaysia dalam menyelesaikan beberapa kes penculikan selepas beberapa kumpulan kecil menjadikan perairan Sulu sebagai tempat menyembunyikan tebusan.

Ketika ini, seorang warga Malaysia, Jepun dan India masih ditahan kumpulan penculik di Pulau Jolo, selatan Filipina. Rakyat Malaysia berkenaan, Mohd Nazarrudin Saidin, ditahan penculik sejak Mei lalu. Penculik menuntut wang tebusan lebih RM5 juta untuk membebaskannya.

Jamalul Kiram, yang kini diiktiraf sebagai pewaris sah kerajaan kesultanan Sulu oleh kerajaan Filipina dan Amerika Syarikat, berkata andai pembangunan dapat dilaksanakan di rantau selatan, penduduk yang mendapat faedah pekerjaan tentu tidak akan bergiat dalam pelanunan dan penculikan.

Thursday, December 8, 2011

KUALA LUMPUR 5 Dis. - Kerajaan Filipina menggesa Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) supaya bekerjasama dengan Manila untuk menamatkan pemberontakan berpanjangan di selatan negara itu menjelang awal tahun depan.

Gesaan itu disuarakan oleh ketua perunding Filipina, Marvic Leonen ketika kedua-dua pihak memulakan pusingan baru rundingan damai di sini, hari ini.

Rundingan di Kuala Lumpur menandakan pusingan pertama rundingan damai rasmi sejak pertempuran maut meletus pada Oktober lalu dan hampir menggagalkan seluruh usaha damai.

"Bagi pihak kerajaan, saya ingin mengajukan cabaran ini, marilah kita sama-sama menyelesaikan tugas kita dalam tempoh suku tahun pertama tahun depan," kata Leonen, menurut salinan kenyataan pembukaan pada rundingan itu.

Awal tahun ini, kerajaan Filipina menetapkan sasaran untuk menamatkan secara rasmi permusuhan dengan MILF dalam masa setahun.

Matlamat itu kelihatan tidak akan dicapai selepas pejuang MILF membunuh 19 askar kerajaan dalam satu serang hendap di pulau Basilan pada Oktober lalu.

Pembunuhan tersebut mencetuskan beberapa pertempuran sengit di pulau Mindanao, yang menyebabkan 40 askar, anggota polis dan orang awam terbunuh dan ribuan lagi penduduk melarikan diri.

Leonen menggesa MILF mengambil tindakan lebih tegas untuk membendung 'anasir penjenayah' yang mengancam usaha damai.

Dalam kenyataan semalam, penasihat Presiden Filipina berhubung proses damai, Teresita Deles enggan menyatakan kemajuan yang boleh dicapai pada rundingan yang dijadual berlangsung selama tiga hari itu. - AFP

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal