Bismillahirrahmanirrahim

Tuesday, December 13, 2011

MNLF, MILF cari kesepakatan

KUALA LUMPUR: Usaha pada peringkat politik supaya penduduk Islam di Selatan Filipina bersatu dipercayai dapat menghapuskan keganasan dan penculikan warga asing di rantau berkenaan dan ia mampu dicapai dengan bantuan kerajaan menerusi program pembangunan di situ.

Ini dilihat menerusi penyertaan Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang giat berunding dengan Manila selain mengambil kira semula pengaruh salasilah Kesultanan Sulu ke arah membentuk kerajaan autonomi serantau yang benar-benar kukuh.

Waris Kesultanan Sulu, Sultan Jamalul D Kiram III, memaklumkan kata sepakat hampir dicapai antara tiga pihak itu yang diyakini memperkukuh perpaduan penduduk Islam di Selatan Filipina sekali gus menamatkan keganasan dan penculikan yang sering dikaitkan dengan rantau itu.
“Andai semua pihak dapat bekerjasama dan saling bertolak ansur, kita yakin masyarakat Islam dapat bersatu hati bagi menangkis anasir yang sering memporak perandakan kawasan selatan.

“Selama ini, penduduk berpecah belah dan berpuak-puak mengizinkan anasir luar mengambil kesempatan dengan melakukan keganasan serta penculikan sehingga menjejas dan memburukkan imej masyarakat Islam di rantau ini,” katanya kepada wartawan Berita Harian di Manila, baru-baru ini.

Pergolakan di selatan Filipina sejak 1970-an menyebabkan pembangunan di kawasan berkenaan tidak dapat dilaksanakan berikutan kegiatan pemisah dan pelampau yang melakukan keganasan serta aktiviti melanun.

Jamalul berkata, perpaduan menjadi kunci untuk merungkai perkara lebih besar seperti usaha membangunkan Selatan Filipina yang kaya dengan hasil semula jadi menerusi kerjasama dengan beberapa negara jiran termasuk Malaysia.
“Masih banyak perkara yang perlu diselesaikan termasuk aspek persempadanan dengan Malaysia dan andai ia dapat diatasi dengan cara baik, pasti menguntungkan semua pihak selain meredakan ketegangan di kawasan sempadan yang turut sama menjejaskan keselamatan di Sabah, seperti kemasukan pendatang tanpa izin,” katanya.

Selain itu, katanya, anggota keluarga salasilah kesultanan Sulu, turut sedia membantu Malaysia dalam menyelesaikan beberapa kes penculikan selepas beberapa kumpulan kecil menjadikan perairan Sulu sebagai tempat menyembunyikan tebusan.

Ketika ini, seorang warga Malaysia, Jepun dan India masih ditahan kumpulan penculik di Pulau Jolo, selatan Filipina. Rakyat Malaysia berkenaan, Mohd Nazarrudin Saidin, ditahan penculik sejak Mei lalu. Penculik menuntut wang tebusan lebih RM5 juta untuk membebaskannya.

Jamalul Kiram, yang kini diiktiraf sebagai pewaris sah kerajaan kesultanan Sulu oleh kerajaan Filipina dan Amerika Syarikat, berkata andai pembangunan dapat dilaksanakan di rantau selatan, penduduk yang mendapat faedah pekerjaan tentu tidak akan bergiat dalam pelanunan dan penculikan.

0 ulasan:

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal