Bismillahirrahmanirrahim

Monday, January 9, 2012

Thailand gagal kekang keganasan


BANGKOK: Lebih 160 bilion baht (RM16 bilion) dibelanjakan untuk menangani keganasan di selatan Thai sejak ia mula meletus lapan tahun lalu tetapi tidak banyak kejayaan yang dicapai.

Pakar keselamatan, Chaiyong Maneerungsakul, anggota Majlis Penasihat Untuk Mewujudkan Keamanan di Wilayah Selatan berkata, kerajaan yang silih berganti, menerusi angkatan tentera dan agensi keselamatan gagal mencapai kejayaan bermakna dalam usaha memerangi keganasan itu.


Menurutnya, bajet paling besar ialah sebanyak 27 bilion baht yang diperuntukkan pada 2009.


Tahun ini, 16 bilion baht diperuntukkan untuk operasi keselamatan sementara lebih satu bilion baht sudah dibelanjakan untuk membayar pampasan dan langkah pemulihan untuk mangsa yang terbabit dalam konflik itu.


Keganasan bermula pada 4 Januari 2004 apabila sekumpulan lelaki menyerang stor simpanan senjata Batalion Keempat tentera Thai di daerah Cho Airong, Narathiwat dan melarikan sejumlah besar senjata.



Sejak itu keganasan meletus semula di wilayah Yala, Pattani, Narathiwat dan beberapa daerah di Songkhla dan berterusah sehingga kini.



Chaiyong berkata, lebih 5,000 orang terbunuh dan lebih 10,000 lagi cedera sepanjang keganasan itu.


Mereka yang terbunuh termasuk orang awam, pemimpin agama, sami Buddha, pegawai kerajaan tempatan, polis dan juga tentera.


Ia juga menyebabkan lebih 2,000 wanita menjadi janda dan 4,000 kanak-kanak menjadi yatim. - Bangkok Post

0 ulasan:

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal